suria

Penyakit ‘rusa zombie’ serang Amerika Syarikat... Ambil tahu tentang ‘bencana yang bergerak perlahan’ ini

Penyakit rusa zombi hanya diketahui selepas seekor rusa putih ditembak pemburu.

MENGIMBAU beberapa filem berkaitan zombie seperti Train to Busan, pastinya anda berasa gerun sekiranya wabak tersebut betul-betul melanda dunia.

Walau bagaimanapun baru-baru ini, pakar perubatan mendedahkan penyakit seumpamanya menyerang ratusan haiwan di Amerika Syarikat sehingga digelar ‘zombie deer disease’ atau rusa zombi.

Lebih membimbangkan apabila penyakit berkenaan disifatkan sebagai ‘bencana yang bergerak perlahan’.

Justeru, masyarakat dunia perlu bersedia sekiranya ia turut menjangkiti manusia.

Ini perkara yang perlu anda tahu tentang penyakit rusa zombi.

Ratusan rusa telah disembelih bagi mencegah penularan wabak.

Ratusan rusa telah disembelih bagi mencegah penularan wabak.

Apakah penyakit rusa zombi?

Dikategorikan sebagai chronic wasting disease (CWD) yang boleh membawa maut dan berjangkit.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ia memberi kesan kepada kumpulan haiwan cervid, iaitu rusa, caribou dan moose.

Gejala neurologi penyakit itu, termasuk penurunan berat badan, kurang koordinasi, tingkah laku lesu, tidak bermaya dan pengeluaran air liur yang banyak.

Ia dibawa oleh protein yang dipanggil prion yang cacat dan terkumpul di dalam otak serta tisu lain, yang membawa kepada kurus kering, keabnormalan tingkah laku dan fisiologi seterusnya kematian.

Bila penyakit mula dikesan?

Kajian Geologi AS mendakwa bahawa CWD pertama kali dikesan di Colorado pada tahun 1967 dan sejak itu telah merebak ke beberapa negeri dan negara lain.

Penyakit rusa zombi melanda Amerika Syarikat

Penyakit rusa zombi melanda Amerika Syarikat.

Bagaimana jangkitan berlaku?

Keadaan ini mungkin mengambil masa lebih daripada setahun untuk merosakkan sistem tubuh manakala gejalanya mengambil masa yang lama untuk dikenal pasti.

Haiwan boleh menjangkitinya secara langsung antara satu sama lain atau secara tidak langsung dengan sentuhan di kawasan persekitaran seperti tanah, tumbuhan atau najis mahupun makanan yang tercemar.

Adakah terdapat ubat untuk merawatnya?

Pada masa ini tiada vaksinasi atau penawar untuk penyakit rusa zombi.

Pemeriksaan dilakukan ke atas rusa yang mati.

Pemeriksaan dilakukan ke atas rusa yang mati.

Lokasi berlakunya kes?

Sejak kebelakangan ini, Taman Negara Yellowstone di Wyoming melaporkan kejadian pertama penyakit itu pada rusa ekor putih berusia dua tahun yang dibunuh oleh pemburu pada November.

Sejak itu, penyakit berkenaan ditemui dalam 800 sampel rusa utara, rusa dan rusa negeri.

Menurut CDC, 31 negeri Amerika merekodkan kes penyakit itu.

Di luar Amerika Utara, penyakit CWD dilaporkan pada moose dan rusa di Norway, Finland dan Sweden.

Sebilangan kecil kes import juga ditemui di Korea Selatan.

Tiga wilayah Kanada juga telah melaporkan kes CWD.

Bolehkah penyakit rusa zombi merebak kepada manusia?

Tidak pernah dilaporkan kes penyakit rusa zombi pada manusia.

Walau bagaimanapun, sesetengah saintis memberi amaran kepada kerajaan untuk bersiap sedia sekiranya berlakunya penularan dengan menjadikan penyakit lembu gila di Britain sebagai contoh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain