PASTI ramai dalam kalangan kita pernah mendengar petua daripada orang-orang tua supaya elak daripada mengambil beberapa jenis sayur kerana percaya ia boleh menyebabkan 'angin' dan 'kembang urat'. Persoalannya, adakah betul sayuran atau buahan tersebut dapat memberi kesan kepada tubuh badan seperti yang didakwa? Sebenarnya, ia bergantung pada badan seseorang individu itu sebagaimana fakta yang dikongsikan oleh Dr Mazliana Mazlan. Menurut Dr Mazlina, beliau kerap mendengar rungutan daripada pesakitnya yang mengadu mengalami angin dan sendawa sepanjang waktu. "Rupanya, ada satu persamaan pada semua makanan berangin. Kebanyakannya ada kandungan raffinose. "Raffinose ini gula. Gula yang tak berjaya dihadam di perut, kemudian akan dipindahkan ke usus dan bertindak balas dengan bakteria di usus. "Apabila cantik keseimbangan bakteria di usus, tindak balas antara raffinose dan bakteria akan berjalan dengan lancar. "Tapi kalau keadaan usus kurang sempurna, tindak balas jadi kacau-bilau, dan waktu inilah akan berlakunya kembung perut, angin dan sebagainya," terangnya. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ‘puasa’ makan nasi selama 13 tahun! Amal diet pelik gara-gara berat badan naik mendadak lepas kahwin Antara makanan yang mengandungi raffinose adalah seperti berikut: 1. Kumpulan sayuran cruciferous – Brokoli, kubis, kubis bunga, kubis ungu, pak choy. – Seeloknya sayuran jenis ini dimasak untuk kurangkan simptom angin. Elakkan makan secara mentah Kacang hijau seeloknya direndam sebelum dimasak. -Gambar Shaari Che Mat/The Star 2. Bijirin kekacang – Kacang hijau, kacang merah, kacang kuda, kacang dal dan lain-lain kerana semua jenis kacang mengandungi raffinose – Rendam dulu kekacang sekurang-kurangnya lapan jam, ia mampu kurangkan kandungan raffinose. Tambah Dr Mazliana, tidak bermaksud kesemua makanan berkenaan tidak baik untuk tubuh badan. Namun ketika mengambilnya membuatkan perut jadi berangin, tindakan yang pertama adalah membetulkan dahulu usus. "Seimbangkan balik ekosistem bakteria di usus kita. Ambil makanan yang ada kandungan probiotik dan prebiotik. "Kurangkan dulu makanan yang macam ini, sampailah usus dah baik balik. "Kalian yang tak ada masalah berangin, teruskan je makan macam biasa. Khasiat dari setiap sayur dan kekacang ini banyak sangat untuk kesihatan kita," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube