MEMANG sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk menyukai perkara yang indah dan cantik. Bukan sahaja bagi golongan dewasa, malah bayi juga lebih cenderung menatap serta tertarik kepada objek yang menawan. Ini bukan rekaan tetapi ia adalah berdasarkan satu kajian yang dilakukan di United Kingdom. Dijalankan pada tahun 2004, kajian ini adalah berkisarkan aspek tingkah laku atau psikologi seseorang bayi. Dalam penyelidikan melibatkan bayi-bayi yang berusia seawal satu hari, bayi-bayi ini diperlihatkan dengan gambar-gambar wajah. Hasilnya mendapati bayi-bayi tersebut lebih banyak menghabiskan masa untuk menatap gambar dengan ciri wajah yang menarik. Bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna. -Gambar hiasan/The Star "Daya tarikan bukan terletak pada kaca mata mereka yang melihat. Ia adalah satu perkara semula jadi yang wujud pada bayi yang baru lahir," kata salah seorang penyelidik daripada University of Exeter, Alan Slater. Melalui penyelidikan tersebut, ia membuktikan bahawa bayi tidak lahir ke dunia dengan sekadar 'lembaran kosong' tetapi mereka memasuki dunia dengan sistem perkembangan persepsi yang cukup seimbang. ARTIKEL BERKAITAN: Berapa suhu aircond sesuai untuk si kecil anda tidur? Bayi baru lahir disaran tetapkan suhu lebih dingin Slater menjelaskan bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna sebagai seorang manusia. "Secara tidak langsung, individu dengan raut wajah menarik ini dapat membantu mereka mengenali dunia sosial," jelas Slater. Satu kajian lain yang diterbitkan dalam British Journal of Developmental Psychology merumuskan, bayi serta kanak-kanak lebih mudah mempercayai kata-kata yang dilafazkan oleh individu dengan raut wajah yang menarik. Kajian ini menyatakan sama ada bayi lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai tahap minat dan kepercayaan yang sama. Ini bermakna mereka lebih mempercayai wanita cantik atau lelaki yang kacak berbanding individu dengan raut wajah kurang menarik. Secara kesimpulannya, kajian-kajian ini membuktikan bahawa bayi tidak perlu diajar atau belajar mengenai cara mengenali wajah, sebaliknya mereka secara semula jadi sudah dilahirkan dengan kemahiran ini. Menarik, bukan? Maka percayalah, andai kata anda ditenung oleh bayi atau kanak-kanak, itu bermakna anda merupakan individu yang menawan pada mata mereka! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube