suria

Sama ada secara semula jadi atau tidak, penghidap OCD berdepan risiko kematian lebih tinggi - Kajian

Penemuan kajian tersebut mendapati penghidap OCD mempunyai peningkatan risiko kematian sebanyak 82 peratus. -Gambar hiasan/The Star

SAMA ada sedar atau tidak sedar, kita sendiri berkemungkinan mempunyai sindrom yang dikenali sebagai Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Mereka yang menghidap OCD dapat dikenal pasti apabila cenderung melakukan sesuatu secara berulang kali, contohnya, kerap mencuci tangan kerana menyangka anggota berkenaan masih tidak bersih.

Satu lagi ciri untuk mengenal pasti seseorang itu penghidap OCD adalah mereka cenderung menghabiskan masa berjam-jam hanya melakukan satu perkara.

Ini kerana penghidap OCD ini mahukan sesuatu tugas atau kerja itu disiapkan dengan sempurna.

Namun tahukah anda, penghidap OCD berdepan dengan risiko kematian yang lebih tinggi, sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi atau bukan semula jadi.

The business woman is hurting at her heart and is in the office.

Kajian itu juga mendapati wanita yang menghidap OCD mempunyai risiko relatif yang lebih tinggi untuk mati akibat punca kematian yang bukan semula jadi. -Gambar hiasan/The Star

Penemuan tersebut merupakan satu kajian baharu yang mengejutkan dari Sweden dan turut diterbitkan dalam British Medical Journal (BMJ) baru-baru ini.

Menggunakan data daripada beberapa daftar penduduk Sweden, penyelidik mengenal pasti pelbagai faktor yang berpotensi berpengaruh seperti tahun lahir, jantina, daerah, status migran, pendidikan dan pendapatan keluarga untuk melengkapkan kajian.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda mungkin tergolong dalam kategori OCD, kenali tanda-tanda awal

Hasilnya, kajian tersebut menunjukkan penghidap OCD mempunyai peningkatan risiko kematian sebanyak 82 peratus.

Punca kematian semula jadi dengan peningkatan risiko ditunjukkan seperti berikut:

1) Penyakit sistem pernafasan (73%)

2) Gangguan mental dan tingkah laku (58%)

3) Penyakit genital dan sistem urin (55%)

4) Penyakit endokrin, pemakanan dan metabolik (47%)

5) Penyakit sistem peredaran darah (33%)

6) Penyakit sistem saraf (21%)

7) Penyakit sistem penghadaman (20%)

Bagaimanapun, penghidap OCD mempunyai pengurangan risiko kematian sebanyak 10 peratus yang disebabkan tumor.

FILED - Patients with gout who have a flare-up were found to have higher odds of suffering a

Gejala OCD boleh disembuhkan dengan menjalani rawatan psikoterapi bersama pakar kesihatan mental. -Gambar hiasan/DPA

Sementara itu, bagi punca kematian yang bukan semula jadi pula, penyelidik mengenal pasti peningkatan risiko mati akibat bunuh diri hampir lima kali ganda dan risiko kemalangan 92 peratus lebih besar.

Penemuan kajian juga mendapati wanita yang menghidap OCD mempunyai risiko relatif yang lebih tinggi untuk mati akibat punca kematian yang bukan semula jadi, berbanding lelaki yang menghidap OCD.

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar yang menyebabkan terjadinya OCD, namun kajian telah dilakukan mengambil kira faktor genetik dan persekitaran seperti komplikasi kehamilan dan trauma zaman kanak-kanak.

Gejala OCD boleh disembuhkan dengan menjalani rawatan psikoterapi bersama pakar kesihatan mental.

"Strategi pengawasan, pencegahan, dan intervensi awal yang lebih baik harus dilaksanakan untuk mengurangkan risiko kematian bagi penghidap OCD," tulis para penyelidik dalam penemuan mereka.

Bagaimanapun, para penyelidik berkenaan tidak pasti sama ada penemuan kajian mereka terpakai kepada penduduk di luar Sweden yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan amalan perubatan yang berbeza.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain