SELEPAS berlakunya kematian, satu perkara wajib yang perlu dihadapi waris adalah urusan pembahagian harta. Seperti yang kita ketahui, apabila si suami meninggal dunia, semua harta yang dimiliki atas nama arwah tersebut adalah dikira sebagai harta pusaka. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan kita yang kurang arif mengenai pembahagian harta antara isteri dan waris-waris lain. ARTIKEL BERKAITAN: Suami mati isteri merana, terpaksa menyorok daripada rakan-rakan arwah... Rupanya semua datang tuntut hutang! ARTIKEL BERKAITAN: Apa guna kumpul kekayaan jika insan tersayang terabai... ada 5 konflik jika gagal lindungi harta Salah satu perkara yang menjadi persoalan ramai adalah sama ada si isteri boleh menuntut wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah suaminya sebagai harta sepencarian. Perkara tersebut dijelaskan dengan tuntas oleh Peguam Syarie, Fahmi Ramli daripada Firma Guaman Fahmi Ramli & Co. Berikut merupakan empat persoalan yang perlu kaum isteri tahu tentang isu ini: 1) Adakah KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian? Ada yang ingat KWSP itu harta sepencarian dengan menganggap hasil pendapatan suami, terdapat sumbangan tidak langsung isteri yang menjaga hal ehwal anak dan rumahtangga. Namun ia salah kerana berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000, diputuskan bahawa KWSP adalah hak suami. Justeru wang KWSP dan duit disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana ia dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP, maka wang itu adalah milik si mati. Peguam Syarie, Fahmi Ramli daripada Firma Guaman Fahmi Ramli & Co. 2) Kalau tak tuntut harta sepencarian, boleh ke isteri sebagai penama menerima semua? Penama bukanlah penerima hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang. Penama yang dinamakan di dalam KWSP pencarum itu hanyalah sebagai pentadbir harta atau pemegang amanah si mati sahaja. Ini bertujuan untuk memudahkan urusan waris menerima wang KWSP si mati dengan mudah dan cepat sahaja. Sebabnya, untuk mendapatkan perintah pusaka itu bukanlah satu urusan yang boleh selesai dalam tempoh satu hari, satu minggu atau satu bulan. 3) Apa tugas penama KWSP? Menurut keputusan muzakarah tersebut, penama KWSP hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut faraid. Ini bermakna, bagi sesiapa yang dinamakan sebagai penama KWSP, ia perlu memegang amanah untuk membahagikan duit peninggalan si mati tersebut mengikut bahagian faraid. Bukan miliknya seorang sahaja. 4) Bolehkah dibuat hibah duit KWSP? Pada pandangan saya, KWSP ini tidak boleh dibuat hibah kerana ia belum dikira milikan penuh sehingga mencapai tempoh matang untuk seseorang pekerja itu menerima. Namun, sekiranya ia berada dalam milikan penuh, contohnya dikeluarkan duit sewaktu PKP tahun lepas, maka ketika itu jika nak dihibahkan kepada sesiapa pun itu hak anda. Namun, untuk membuat 'hibah bersyarat' sekiranya kematian pencarum akan diterima oleh penerima hibah, adalah tidak boleh. Ini sama sekali akan bertentangan dengan keputusan muzakarah tersebut. Bahkan, ada kes diputuskan Re Ismail Bin Rentah (si mati) [1939] FMSLR, Hakim memutuskan: Penama di dalam kes tersebut tidak boleh dianggap sebagai penerima hibah oleh sebab tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya ia dianggap hibah semasa Mard al-mawt (sakit yang hampir kematian) yang tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh sebab itu, ikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris. Semua harta yang dimiliki atas nama si mati adalah dikira sebagai harta pusaka selepas kematiannya. -Gambar hiasan Kesimpulan: Sekiranya seorang isteri hendak bahagian lebih daripada tinggalan KWSP suami, ia tak boleh dituntut melalui harta sepencarian. Tak sama macam bahagian harta lain seperti rumah misalnya. Sekiranya isteri menerima sebagai penama selepas kematian suami, wajib bagi isteri tersebut membahagikan bahagian sebagaimana bahagian faraid. Memang sedikitlah bahagian isteri jika ada ramai anak daripada si mati dan juga ramai isteri. Inilah cabaran yang akan diterima oleh isteri untuk survive selepas kematian mengejut suami. Kalau suami meninggalkan duit KWSP beratus-ratus ribu, ada juga bahagian ribu-ribunya. Kalau hanya sekitar RM10,000 sahaja sewaktu kematian tersebut, bank simpanan pun sedang stuck sebelum ada perintah pusaka. Berapa lama agaknya tempoh untuk isteri tersebut bertahan jika dia pun bergantung penuh pada suaminya semasa hidup? Inilah antara sebab kenapa suami perlu tinggalkan Hibah Takaful kepada isteri untuk survive membesarkan anak-anak. Jangan ada rasa 'biarlah mereka urus sendiri' sedang kita menagih doa mereka sewaktu di alam sana. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube