TAWARAN kereta terpakai atau 'second hand' sememangnya sangat berbaloi terutma bagi mereka yang berpendapatan rendah. Mana tidaknya, dengan harga berpatutan, golongan ini juga mampu untuk memiliki sebuah kereta. Namun, anda haruslah sentiasa berwaspada ketika mencari kereta terpakai untuk dibeli kerana ada kemungkinan pemilik sebelum itu tidak menyelenggaranya dengan baik. Sekiranya kereta tersebut mula 'meragam' selepas sudah bertukar hak milik, anda juga yang harus menanggung rugi bagi membiayai kos pembaikan dan sebagainya. Ayuh kita lihat perkongsian Iffat Salleh di laman X mengenai beberapa komponen pada kereta terpakai yang wajar diberikan perhatian sebelum anda membuat keputusan untuk membelinya. Enjin kereta merupakan satu sistem yang sangat kompleks. -Gambar hiasan 1) Bahagian pintu, bonet dan minyak Cuba buka dan tutup beberapa kali bahagian pintu, bonet, but serta penutup minyak kereta. Kalau ada bunyi pelik dan mengalami kesukaran untuk dibuka atau ditutup, tinggalkan segera kereta itu kerana komponen tersebut harus ditukar dalam masa terdekat ini, kos yang tinggi menanti anda. 2) Stereng Pegang stereng kereta, pusingkan ke kiri dan kanan sampai habis. Kalau bunyi pelik yang keluar, maksudnya steering rack atau komponen yang berkaitan dah rosak. Tinggalkan kereta itu, banyak modal perlu dikeluarkan untuk membaikinya. 3) Enjin Cuba hidupkan enjin dan tengok pada meter papan pemuka. Kalau nampak bergegar, maknanya mounting enjin dah rosak. Perlukan kos besar nak tukar. Antara ujian lain yang boleh dibuat adalah letak botol air mineral di atas papan pemuka (dashboard) ketika mulakan enjin, kalau nampak air berkocak maksudnya enjin tak lancar, tinggalkan kereta itu. Ujian ringkas ini boleh mendedahkan cacat cela sesebuah kereta terpakai. -Gambar hiasan 4) Gear Kadang-kadang apabila hidupkan enjin, mungkin tidak nampak gegaran itu, sebagai alternatif boleh cuba tekan brek dan tukar gear kepada D (drive). Kalau bergegar maksudnya isu sama, mounting enjin bermasalah. 5) Bawa kereta melalui lintasan belang (zebra) Ada dua ujian yang boleh dibuat di sini, pertamanya, bawa kereta secara perlahan dengan kelajuan 50 kilometer per jam (km/j) ketika melintasi lintasan belang. Seterusnya bawa kereta sedikit laju dengan kelajuan 90 km/j ketika melintasi lintasan belang. Sekiranya ketika ujian itu ada bunyi-bunyian yang keluar, maknanya kereta itu bermasalah pada bahagian undercarriage. Banyak modal nak kena keluarkan untuk baiki. Selain itu, ambil perhatian kalau stereng bergegar ketika kelajuan kereta menghampiri 90 km/j, itu juga petanda yang kurang baik. 6) Kebocoran Rajinkan diri untuk tunduk dan tengok bahagian bawah kereta, kalau ada nampak sebarang jenis cecair yang menitik, itu maksudnya kebocoran. Elakkan sama sekali kereta seperti ini. 7) Penghawa dingin Buka penghawa dingin kereta pada suhu minimum. Mulakan pada tahap terendah iaitu 20 darjah celcius. Tunggu lima minit, tengok sejuk atau tidak. Kemudian naikkan suhu sebanyak satu tahap dan tunggu lima minit. Ulang sampai mencecah suhu maksimum. Kemudian turunkan semula suhu ke tahap yang terendah. Kalau semua sejuk, maka penghawa dingin kereta dalam keadaan yang baik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube