suria

3 isyarat tangan sering dibuat anggota polis trafik, penting untuk anda tahu maksudnya

Antara isyarat tangan yang diberikan anggota polis trafik.

KEHADIRAN polis trafik di jalan raya bertujuan membantu melancarkan aliran kenderaan.

Terutamanya ketika kesibukan pada waktu puncak, kesesakan akibat penganjuran sesuatu acara, situasi kecemasan atau bagi memberi laluan kepada orang kenamaan.

Ketika ternampak atau terserempak dengan anggota polis trafik ini, mereka dilihat melambai-lambai tangan seperti memberikan isyarat.

Tahukah anda, ia bukan sekadar isyarat biasa untuk meminta anda bergerak ke tepi, tetapi turut mempunyai makna lain yang ramai terlepas pandang.

Ayuh kita ikuti perkongsian oleh saluran media sosial Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM dan Motorsports Malaysia tentang maksud di sebalik isyarat-isyarat tersebut.

Isyarat untuk memperlahankan kenderaan.

1) Lambaian tangan dari atas ke bawah

Isyarat tangan ini sering digunakan anggota polis trafik untuk meminta pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada kereta yang diiringi.

Selepas anda mematuhi isyarat tangan yang diberikan, anggota polis trafik berkenaan akan menunjukkan isyarat ibu jari bagus sebagai tanda terima kasih.

Isyarat untuk kenderaan bergerak ke kiri atau kanan.

2) Pergerakan tangan dari depan ke belakang

Isyarat tangan dari depan ke belakang pada paras dada merupakan arahan agar kenderaan merapat ke bahagian kiri atau kanan jalan bagi membuka laluan kepada kenderaan yang diiringi.

Isyarat untuk kenderaan berhenti seketika.

3) Angkat tangan

Ketika isyarat tangan ini digunakan, anggota polis trafik akan menunjukkan jari telunjuk dan kemudiannya mengangkat tangan bagi meminta pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan.

Isyarat ini kebiasaannya digunakan di persimpangan lampu isyarat bagi membolehkan kenderaan yang diiringi melintas terlebih dahulu, sementara kenderaan lain diarahkan berhenti.

Semoga bermanfaat! - Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube