suria

Terkedu mak atau ayah meninggal... Cuba tenangkan diri, ini tindakan penting anda perlu buat segera

Kematian merupakan satu ujian berat kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan

KEMATIAN boleh tiba pada bila-bila masa tanpa mengira kita bersedia atau tidak.

Paling terkesan apabila seorang anak kehilangan ibu, bapa atau adik beradik tersayang.

Bagi pihak anak-anak misalnya, rasa panik,sedih dan buntu pasti menyelubungi diri apabila ibu bapa sebagai tempat bergantung harap berangkat ke negeri abadi.

Melalui hantaran seorang wanita dikenali sebagai Dhir di laman X, dikongsikan beberapa perkara yang wajar diberi perhatian sejurus ibu atau bapa dijemput Ilahi.

Ayuh kita lihat satu-persatu.

1) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Pergi ke JPN dan buat sijil kematian, bawa sekali kad pengenalan ibu bapa.

Dinasihatkan untuk fotostat beberapa helai kad pengenalan ibu bapa, sebagai simpanan kenang-kenangan kerana apabila di JPN nanti, kad pengenalan mereka akan diambil.

2) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

Sekiranya sebelum ibu bapa meninggal dunia mereka masih bekerja, boleh pergi ke Perkeso untuk tuntut Pencen Penakat.

Contohnya si ayah yang meninggal dunia dan masih ada isteri serta anak-anak yang bersekolah, boleh dapat elaun bulanan (Pencen Penakat) berdasarkan gaji terakhir ayah.

3) Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Boleh pergi ke kaunter dan tuntut khairat kematian.

4) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sekiranya ibu bapa tidak meletakkan penama untuk akaun KWSP mereka, harus pergi ke mahkamah kecil bagi menyelesaikan pengeluaran dan kemudiannya faraid wang caruman KWSP yang dikeluarkan itu.

5) Bank

Ambil tahu bank yang digunakan ibu bapa. Selepas ibu bapa meninggal dunia, akaun bank mereka akan dibekukan.

Boleh pergi ke kaunter bank dan bawa sijil kematian bagi menutup akaun bank itu. Sekiranya ada wang yang ditinggalkan di dalam akaun, ia juga harus difaraid.

6) Aset

Sekiranya rumah atau kereta ibu bapa masih belum habis dibayar di bawah nama mereka, boleh pergi ke bank yang memberikan pinjaman itu untuk maklumkan. Bank tersebut akan bantu untuk langkah seterusnya.

Sebagai peringatan, untuk aset kereta, selagi belum ditukar ke nama baharu, cukai jalan hanya boleh diperbaharui selama enam bulan.

7) Salinan

Bagi memudahkan segala urusan, amat digalakkan untuk membuat sebanyak mungkin salinan fotostat bagi dokumen penting seperti sijil mati dan kad pengenalan ibu bapa.

Anda akan memerlukannya ketika berurusan di mana-mana jabatan, jadi lebih baik untuk bersedia awal.

Semoga membantu!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain