suria

Rupanya nasi ‘kuah banjir’ punca cepat gemuk... Ramai lupa jumlah kalori dalam setiap senduk!

Hidangan 'kuah banjir' boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius. -Gambar hiasan

SINGGAH saja ke mana-mana restoran mamak, istilah 'kuah banjir' semestinya sudah tidak asing lagi.

Kuah banjir bermaksud gulai serta kuah daripada beraneka jenis lauk dilambakkan ke atas juadah seperti nasi putih dan roti canai, menjadikannya santapan yang likat dan pekat.

Namun tanpa disedari ramai, amalan kuah banjir ini secara tidak langsung akan menggandakan pengambilan kalori, walaupun makanan di dalam pinggan anda tidaklah sebanyak mana.

Sangat bahaya, apatah lagi sekiranya anda merupakan seseorang yang jarang bersenam, kalori yang terkumpul akan bertukar menjadi lemak sehingga akhirnya menyebabkan obesiti.

Memetik perkongsian di portal HelloDoktor, setiap kuah yang dicampurkan itu mengandungi kuantiti minyak, lemak, gula, garam dan bahan perasa yang berbeza-beza.

Ayuh kita lihat perbandingan kilokalori (kcal) antara hidangan biasa dan juga hidangan 'kuah banjir'.

1) Nasi kandar (572 kcal) - nasi kandar kuah banjir (1112 kcal)

2) Roti canai kuah kari (632 kcal) - roti canai kuah kari banjir (1182 kcal)

3) Nasi kukus ayam berempah (565 kcal) - nasi kukus ayam berempah kuah banjir (1115 kcal)

Nasi kandar 'kuah banjir' menjadi idaman ramai. -Gambar hiasan

Kini, terbukti perbezaan seperti langit dan bumi daripada segi kandungan kalori untuk kedua-dua juadah berkenaan

Namun, jika anda masih ingin menambah kuah banjir ke dalam juadah anda, ada beberapa tip untuk menjadikannya lebih sihat.

1) Anda boleh mengurangkan jenis kuah yang diambil, cukup satu atau dua jenis kuah sahaja.

2) Minta kurangkan kuantiti kuah yang diletakkan pada nasi.

3) Anda juga boleh memilih untuk menambah kuah yang lebih sihat seperti kuah bening atau kuah daripada lauk sayur-sayuran.

4) Kurangkan nasi dan kuah, tetapi lebihkan sumber protein dan sayuran.

5) Minta asingkan kuah dalam mangkuk kecil lain.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain