suria

Jangan panik jika diperiksa polis, ini 2 perkara penting perlu anda tahu

Langkah berjaga-jaga perlu diambil ketika ditahan pihak berkuasa. -Gambar hiasan The Star (kanan)

BAYANGKAN situasi ketika di jalan raya, anda mungkin ditahan anggota polis untuk pemeriksaan.

Ketika itu, ia berlaku secara rawak dan bukan sewaktu operasi sekatan jalan raya seperti kebiasaan.

Anda biasanya akan diminta untuk menunjukkan lesen memandu, kad pengenalan atau membuka but kereta untuk tujuan semakan dan pemeriksaan.

Namun, jangan panik berdepan dengan situasi itu kerana pentingnya untuk mengetahui hak anda sebagai orang awam bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa atau penyamaran oleh individu tidak bertanggungjawab.

Seorang anggota polis dikenali sebagai Zulfami Shariff di TikTok berkongsi beberapa perkara penting yang perlu anda lakukan sekiranya ditahan pihak berkuasa untuk pemeriksaan.

1) Minta polis tunjuk kad kuasa

Menurut Zulfami, anggota yang hendak membuat sebarang pemeriksaan atau menahan orang awam diwajibkan untuk menunjukkan kad kuasa terlebih dahulu.

Lebih-lebih lagi jika anggota polis berkenaan tidak memakai pakaian seragam atau berpakaian preman (kasual), bagi tujuan memperkenalkan diri mereka.

Anda sebagai orang awam mempunyai hak untuk meminta anggota polis menunjukkan kad kuasa miliknya, sebelum anda memberikan kerjasama.

2) Lihat butiran kad kuasa

Selain itu, anda juga disarankan untuk membaca butiran pada kad kuasa tersebut. Perkara yang perlu diberikan perhatian antaranya adalah nama penuh anggota polis, nombor siri polis dan pangkat yang disandangnya.

Sekiranya anda dihalang daripada membaca kad kuasa itu, anda boleh memilih untuk mengabaikan arahan yang diberikan anggota polis terbabit.

Ia bukan bermakna anda tidak memberi kerjasama, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya anggota polis itu dikhuatiri merupakan individu yang menyamar dan mempunyai niat tidak baik.

Tambah Zulfami, jika seseorang anggota polis itu berkeras untuk menahan anda tanpa menunjukkan kad kuasanya, ia menunjukkan dia telah gagal memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa undang-undang kepada orang awam di tempat kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain