ISU parkir kenderaan pasti menjadi antara perkara penting difikirkan pengembara yang akan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Di mana hendak parkir kereta apabila bercuti lama?
Pihak pengurusan ada menyediakan lot parkir tetapi bayaran yang dikenakan sedikit 'premium', boleh mencecah hingga RM45 sehari, kurang ideal bagi mereka yang mahu berjimat dalam perbelanjaan.
Lot parkir berhampiran KLIA yang menawarkan harga 'marhaen'.
Jangan risau, ada alternatif yang boleh membantu.
Ayuh kita tinjau lot parkir yang terletak di sebuah pekan berhampiran KLIA iaitu Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor kerana dikatakan kadar bayarannya sungguh berpatutan.
Diusahakan oleh pemuda dikenali sebagai Muhaimin, hanya bayaran RM15 sehari dikenakan untuk memasuki lot parkir yang dibina atas tanah persendirian itu.
Selain itu, pengangkutan pergi dan balik ke KLIA juga turut disediakan dengan bayaran RM7.50 sehala dan percuma sekiranya anda memarkir kereta lebih daripada seminggu.
"Dari tempat saya nak ke KLIA dalam 20 minit perjalanan macam tu. Kalau family besar atau ada banyak bagasi, saya sarankan untuk drop penumpang di KLIA dulu dan baru datang ke sini untuk letak kereta.
"Tentang aturan pengangkutan ni fleksibel, kalau nak buat style valet pun boleh, macam pelanggan pergi KLIA dulu, kemudiannya saya ambil kereta dan pandu ke sini. Boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.
"Saya juga sediakan pakej untuk mereka yang nak parking kereta bagi tempoh lama, contoh nak parking sebulan terus saya kira RM300, kalau nak parking umrah saya tawarkan harga antara RM150 hingga RM200.
Lot parkir yang diusahakan Muhaimin mendapat sambutan hangat.
"Maksimum parking kereta di sini adalah enam bulan," jelas Muhaimin yang memulakan bisnes lot parkir kereta sejak tahun 2021.
Seterusnya, Muhaimin menjelaskan ciri-ciri keselamatan yang diketengahkan di lot parkir kereta untuk mencegah sebarang aktiviti jenayah.
"Apabila kita melancong, mesti kita nak bercuti dengan tenang tanpa perlu risau tentang keselamatan harta benda seperti kereta. Dekat sini, saya ada dua lot parkir, yang pertama lot parkir A, ini memang betul depan rumah saya.
"Yang keduanya, lot parkir B, di bahagian sebelah sana, boleh muatkan 40 kereta dalam satu masa. Lot parkir ni berpagar sepenuhnya. Selain itu ia lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemantauan 24 jam.
"Saya juga ada petugas yang akan datang meronda setiap 2 jam untuk tengok-tengokkan kereta pelanggan. Saya turut sediakan option tinggalkan kunci kereta, selang beberapa hari saya akan tolong start enjin untuk panaskan.
"Apabila tinggalkan kunci kereta, saya akan minta pelanggan ambil gambar mileage sebelum pergi KLIA, supaya nanti tak timbul dakwaan salah guna," ujar Muhaimin.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube