suria

Charlie tak gigit tapi bahaya! Ini langkah pencegahan yang harus diambil, merana jika terkena

Semut charlie kebiasaannya terdapat di kawasan berumput dan lokasi sawah.

PERGERAKAN semut charlie akan semakin aktif ketika musim menuai padi, selain ditambah pula dengan keadaan cuaca yang kering.

Semut charlie tidak menggigit tetapi akan meninggalkan cecair berbisa yang menyebabkan radang kronik pada kulit seperti kemerahan dan gelembung air.

Sekiranya terkena, boleh mengambil masa beberapa minggu untuk pulih.

Ayuh kita lihat beberapa langkah pencegahan yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa semut charlie.

1) Tutup lampu

Semut charlie sering tertarik dengan sumber cahaya yang terang. Oleh itu, apabila hendak tidur malam, tutup lampu di dalam bilik agar semut charlie tidak berada berdekatan dengan anda.

Seterusnya, apabila menjelang senja, tutup pintu dan tingkap kerana semut charlie merupakan serangga yang aktif pada waktu malam.

2) Basuh kawasan kulit yang terkesan

Semut charlie merembeskan cecair berbisa dikenali sebagai Paederin. Sekiranya terkena, segera basuh dengan air dan sabun.

Selain itu apabila anda melihat semut charlie merayap pada badan, jangan pukul atau memenyetnya, cukup sekadar tiup. Jika semut charlie dilenyek, lebih banyak cecair Paederin akan terkeluar.

Jika keadaan kulit yang terkena semut charlie semakin melepuh selepas 12 hingga 36 jam, segera dapatkan rawatan doktor.

3) Penghapusan semut charlie

Sekiranya banyak dilihat kehadiran semut charlie di rumah anda, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Majlis Daerah Perbandaran untuk tindakan kawalan pencegahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain