suria

Anda ada ‘penyakit’ malas lipat pakaian? Boleh cuba 4 tip ini, memang terus rajin dan bersemangat

Tugas melipat pakaian mudah tapi ramai tidak suka melakukannya. -Gambar hiasan

RAMAI sebenarnya yang mempunyai masalah malas untuk melipat pakaian yang sudah dibasuh.

Melihat baju yang berlonggok dan bersepah pun sudah cukup membuatkan kita lemah semangat dan berasa 'liat' untuk memulakan tugas melipat.

Jangan risau, melalui perkongsian IIlidayana Sudirman di laman Facebook, dia memberikan tip untuk menjadikan aktiviti melipat pakaian lebih efisien dan tidak membebankan.

Antara teknik yang dikongsikan.

1) Bakul

Buat bakul baju masing-masing untuk setiap ahli keluarga di dalam rumah. Contohnya jika ada lima orang anak, maka sediakan lima bakul untuk setiap seorang.

Melalui cara ini, proses melipat baju akan menjadi lebih kemas dan tersusun.

2) Isi masa

Jika anda menumpukan minda pada kerja melipat baju semata-mata, pasti akan berasa berat untuk membuatnya. Justeru, disarankan tip ini yang anda boleh cuba.

Sebelum mula melipat pakaian, buka televisyen atau komputer riba. Kemudian pasang filem atau rancangan kegemaran anda.

Masa akan berlalu dengan lebih pantas ketika anda asyik menonton, sehingga akhirnya kerja melipat pakaian tidak lagi terasa merenyahkan.

3) Turutan pakaian

Biasakan untuk melipat baju yang besar dulu agar dapat memberikan ilusi yang timbunan pakaian semakin cepat berkurangan.

Barulah anda lebih bersemangat untuk menghabiskan kerja.

4) Penyangkut

Ketika menyidai baju, gunakan banyak penyangkut (hanger) agar apabila baju kering, boleh terus dimasukkan ke dalam almari.

Dengan cara ini, baju yang perlu dilipat dan digosok akan dapat dikurangkan.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain