suria

Bekas suami tuntut rumah dibeli isteri... Ini 3 fakta harta sepencarian yang wanita perlu tahu

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan. -Gambar hiasan

PENCERAIAN bukanlah perkara asing dalam masyarakat masa kini dan menjadi pilihan utama pasangan suami isteri apabila masing-masing tidak lagi sehaluan.

Proses penceraian mudah apabila kedua-dua individu mencapai kata sepakat untuk berpisah namun menjadi sukar apabila salah seorang enggan ‘melepaskan’ ikatan yang terjalin.

Menerusi perkongsian peguam syarie, Fahmi Ramli, dia didatangi seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang sudah bercerai tiga tahun.

“Sekitar tiga tahun yang lalu, ada seorang wanita menelefon saya untuk dapatkan 'private consultation'. Katanya dia nak jumpa saya secara 'private' di luar sekitar Pulau Pinang dan tempat yang nak jumpa itu, mesti tak ramai orang.

“Kami berjumpa di cafe yang 'private' dan terkenal di Pulau Pinang. Semasa pertama kali berjumpa, orangnya lingkungan 40an. Tinggi, berkulit cerah dan berbaju merah blazer hitam, persis seorang eksekutif syarikat.

“Tekaan saya tepat. Wanita itu memperkenalkan dirinya dan dia memang seorang eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat swasta di sekitar Pulau Pinang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurut Fahmi, wanita tersebut telah bercerai dengan suaminya lebih kurang tiga tahun selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan yang bercerai boleh membuat tuntutan harta sepencarian. -Gambar hiasan

Pasangan yang bercerai boleh membuat tuntutan harta sepencarian. -Gambar hiasan

Tambahnya, penceraian berlaku disebabkan suaminya tidak berusaha mencari pekerjaan lain selepas lebih setahun dibuang kerja.

“Jadi dia terpaksa tanggung makan minum diri dia dan juga tiga orang anaknya. Bahkan, rumah yang mereka tinggal juga dibeli olehnya sebelum berkahwin lagi.

“Segala bil-bil elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh wanita ini sehinggalah, mereka bercerai atas persetujuan bersama. Anak-anak berada di bawah jagaannya,” katanya lagi.

Susulan penceraian itu, bekas suami pulang ke kampung halaman di Kedah tanpa mengambil tahu tentang nafkah anak-anak apatah lagi nafkah eddah buat dirinya.

Bagaimanapun, tiba-tiba wanita ini menerima saman dari Mahkamah Tinggi Syariah yang menyatakan bekas suaminya memfailkan tuntutan harta sepencarian iaitu sebuah kereta Audi dan rumah yang bernilai RM1.3 juta.

Menurut Fahmi, sesiapa sahaja berhak membuat tuntutan namun belum dapat diputuskan sama ada dia berjaya atau tidak.

Jika ada wanita yang berdepan masalah sama, ini tiga perkara yang perlu anda tahu tentang tuntutan harta sepencarian:

Tempat tinggal yang selesa adalah tanggungjawab suami. -Gambar hiasan

Tempat tinggal yang selesa adalah tanggungjawab suami. -Gambar hiasan

1. Adakah boleh bekas suami tuntut rumah yang bekas isteri beli sebelum mereka kahwin?

Harta yang dibeli sebelum mereka kahwin, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Ini kerana harta sepencarian adalah harta yang dibeli bersama atau salah seorang suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan.

Mengikut seksyen 122 (5) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang, untuk jadikan rumah itu sebagai harta sepencarian, bekas suami mesti kena ada faktor ‘memajukan’ rumah tersebut.

Maksudnya, bekas suami ada keluarkan wangnya untuk ubah suai rumah, contohnya. Barulah boleh dikatakan rumah itu harta sepencarian.

2. Jika bekas suami ada bayar juga bulanan kepada bekas isteri untuk rumah tersebut, adakah boleh dikira memajukan?

Tidak boleh. Memajukan itu pada tafsiran undang-undang adalah melibatkan kepada usaha besar untuk kemajuan rumah tersebut. Misalnya, dapur diperbesarkan atau ditambah bilik atau mungkin ‘extend’ garaj kereta.

Jika bekas suami ada membayar bulanan rumah tersebut, dalam keadaan mereka sekeluarga menetap di situ, ia boleh dianggap sebagai nafkah tempat tinggal yang menjadi kewajipan kepada si suami.

3. Bolehkah bekas suami tuntut harta yang isteri sendiri beli dalam tempoh kahwin?

Nak tuntut boleh. Siapa jua yang ada kaitan dengan kes harta sepencarian, boleh buat tuntutan. Tapi belum tentu boleh dapat. Ini kerana, bagi lelaki atau suami, mereka perlu ada sumbangan langsung atau bahasa mudahnya, mengeluarkan wang untuk pembelian harta tersebut.

Jadi, kalau bekas suami tak ada sumbangan wang ringgit untuk pembelian rumah tersebut, sangat sukar untuknya mendapatkan perintah harta sepencarian. Berbeza dengan bekas isteri, kalau isteri tak keluarkan duit pun, masih layak untuk dapat harta sepencarian atas faktor sumbangan tak langsung seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju suami dan macam-macam lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain