suria

Semakin berusia, makin banyak muncul tahi lalat merah... Ramai risau kanser, doktor beri penjelasan

Tahi lalat merah sering muncul di badan mereka yang berusia 30-an ke atas.

TAHI lalat merupakan 'noda' biasa yang terdapat pada kulit kebanyakan manusia.

Kebiasaannya, ia bersaiz kecil dan muncul dalam pelbagai bentuk yang berwarna coklat kehitaman serta kelihatan jelas pada permukaan kulit.

Tahi lalat timbul akibat pengelompokan sel-sel melanosit iaitu sel penghasil zat warna kulit.

Bagaimanapun, sesetengah individu turut memiliki tahi lalat berwarna merah.

Menurut Dr Kenneth Wong CF, tahi lalat atau bintik merah yang terdapat di badan dipanggil 'cherry angioma'.

"Cherry angioma boleh muncul di mana-mana bahagian tubuh, sama ada di badan mahupun tangan dan kaki... semua tempat boleh timbul.

"Kebiasaannya ia muncul pada orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas atau orang tua," ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi tersebut, katanya, saluran darah yang biasa tidak akan membengkak keluar.

Namun untuk 'cherry angioma', saluran darah akan membengkak dari kapilari kecil atau saluran darah kecil dan membengkak keluar atas kulit.

Tambah Dr Kenneth, antara faktor berlakunya situasi ini adalah berkaitan faktor penuaan.

"Semakin tua, semakin banyak 'cherry angioma' dan semakin besar saiznya. Paling penting ia bukanlah kanser.

"Malah mereka yang mengalaminya boleh membuat rawatan laser untuk 'cherry angioma'," tambahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain