MI segera merupakan makanan kegemaran sesiapa sahaja kerana mudah dimasak dan memberikan rasa yang sedap walaupun dihidang ringkas. Walau bagaimanapun, ia sering dikaitkan dengan isu kesihatan kerana bahan perasa dan pengwet yang terkandung di dalamnya adalah sangat tinggi. Malah mi segera juga adalah bahan makanan yang tidak mempunyai nutrisi dan mampu meningkatkan tekanan darah sekiranya diambil secara kerap kerana kandungan natrium tinggi. Terbaharu, seorang individu mendedahkan terdapat mikroorganisma wujud di dalam paket mi segera yang diuji kaji. Untuk rekod mikroorganisma adalah benda hidup yang sangat halus dan hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop. Memetik laporan detikfood, individu terbabit melakukan kajian terhadap mi segera sebelum menemukan bendasing pada bahan makanan berkenaan. Bagi memastikan ia dapat dilihat dengan lebih jelas, individu tersebut kemudiannya menghancurkan mi segera berkenaan dan meletakkan serpihan pada plat kaca sambil menitiskan sejenis cecair. Menerusi rakaman yang disiarkan, mikroorganisma berkenaan dilihat merayap ke bahagian lain. Video yang dikongsikan itu kemudiannya mendapat perhatian warga maya, namun kebanyakannya beranggapan mikroorganisma itu boleh mati jika dimasak pada suhu yang betul. Malah ada juga yang menyatakan sampel mi segera berkenaan telah tamat tarikh luput. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube