SEMAKIN banyak jenama coli sukan (sport bra) dan pakaian olahraga ditemui mengandungi tahap BPA yang tinggi, sekali gus boleh mengundang masalah kesihatan yang berbahaya seperti asma, penyakit kardiovaskular dan obesiti. Amaran itu dikeluarkan sebuah kumpulan pemerhati kesihatan. BPA atau Bisphenol A terdapat dalam sejumlah besar produk harian, daripada botol air dan makanan dalam tin kepada barang permainan dan material lantai. Pusat Kesihatan Persekitaran (CEH) berkata mereka menghantar notis undang-undang kepada lapan jenama legging, seluar pendek, sport bra dan baju olahraga, selepas ujian menunjukkan pakaian berkenaan cenderung mendedahkan pemakainya sehingga 40 kali ganda daripada had selamat BPA, berdasarkan piawaian yang ditetapkan di California, Amerika Syarikat. Di bawah undang-undang California, Proposisi 65, yang digubal pada tahun 1986, tahap dos maksimum yang dibenarkan untuk BPA melalui pendedahan kulit ialah 3 mikrogram sehari. Jenama pakaian olahraga yang baru diuji termasuk legging dari Athleta, Champion, Kohl's, Nike dan Patagonia, sport bra dari Sweaty Betty, baju olahraga dari Fabletics dan seluar pendek dari Adidas, Champion dan Nike. ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui tahap kesihatan dan keupayaan diri sebelum sertai aktiviti lasak - “Ada sesetengahnya ikut kawan...” CNN menghubungi syarikat yang berkenaan untuk mendapatkan komen. Ana Soto, profesor imunologi di Tufts University School of Medicine berkata, komuniti penyelidik tampil ke depan dan bersuara mengenai bahaya pendedahan BPA baik melalui pengambilan dan penyerapan dermal (atau melalui kulit) ke dalam badan. Baju olahraga yang dipakai selama berjam-jam dibimbangi menjejaskan kesihatan sekiranya mengandungi tahap BPA yang tinggi. -Gambar hiasan "Apabila anda terdedah kepada sedikit dos secara oral dan sedikit dos secara transdermal, mereka akan bersama-sama menghasilkan dos yang besar. "Saya telah mengkaji kesan dos rendah BPA semasa perkembangan janin dan mendapati tahap pendedahan yang rendah ini meningkatkan risiko obesiti, diabetes, masalah tingkah laku dan kanser," ujarnya. CEH yang berpangkalan di California, diasaskan pada tahun 1996 sebagai kumpulan advokasi pengguna tanpa berasaskan keuntungan. Kumpulan ini lantang menyuarakan amaran mengenai kandungan bahan kimia dalam perabot, permaidani, bahan lantai serta plumbum dan kadmium dalam barang kemas kanak-kanak. Bagi orang dewasa, pendedahan kepada BPA telah dikaitkan dengan diabetes, penyakit jantung, kanser, obesiti dan disfungsi erektil. Kematian pramatang juga dikaitkan dengan pendedahan BPA, demikian penemuan hasil kajian pada 2020. "Orang ramai terdedah kepada BPA melalui pengambilan daripada makanan atau air minuman daripada bekas yang telah mencairkan BPA, atau melalui penyerapan melalui kulit," ujar Pengarah Program Ancaman Toksik CEH, Kaya Allan Sugerman. "Sport bra dan baju olahraga dipakai selama berjam-jam pada satu masa dan anda semestinya berpeluh, jadi adalah membimbangkan jika mengandungi tahap BPA yang tinggi dalam pakaian tersebut," katanya lagi. -CNN Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube