suria

Tolak pilihan gugur kandungan ketika usia 5 bulan, suami isteri nekad lahirkan anak istimewa - “Kami reda anugerah Allah”

Qhalish disahkan mengalami spina bifida atau kecacatan tulang belakang.

SAAT diberitahu doktor bahawa bayi yang dikandungnya mempunyai masalah, wanita ini mengakui dia terlalu sedih dan perasaannya bercelaru.

Pelbagai perkara terlintas di fikiran terutamanya mengenai masa depan si anak.

"Saya dan suami diberitahu bahawa bayi kami mengalami spina bifida atau kecacatan tulang belakang ketika kandungan berusia lima bulan.

"Ia menyebabkan gangguan urat saraf sekali gus mengakibatkan bahagian pinggang ke bawah lumpuh.

"Doktor beri pilihan sama ada mahu teruskan atau lepaskan. Namun dengan berkat doa dan sokongan keluarga, kami pilih untuk melahirkan bayi ini," ujar Nur Faradila Ahmad Tarmizy kepada mStar, ketika berkongsi kisah anak istimewanya, Muhammad Qhalish Mohd Noor Syazwan.

qhalish 2

Kerusi roda khas yang dicipta oleh bapa Qhalish.

Menurut wanita berusia 36 tahun ini, sejak mendapat perkhabaran tersebut, dia dan suami, Mohd Noor Syazwan Ab Patar banyak membuat carian dan menambahkan pengetahuan mengenai penyakit berkenaan, sebagai persediaan.

"Saya juga mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penolong pengurus latihan dan pembangunan Hicom Automotive di Pekan, Pahang untuk memberi tumpuan kepada kandungan dan membesarkan Qhalish.

"Saat Qhalish dilahirkan, tak terhingga bersyukur apabila melihat semua anggotanya sempurna... cuma nampak benjolan pada bahagian belakang," kongsinya yang kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi hidap biliary atresia perlu dibedah segera di China... Ibu rela derma hati, harap ihsan orang ramai bantu kos rawatan

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, seiring dengan pertambahan usia, Qhalish juga seperti anak kecil normal lain yang begitu aktif.

"Dua sepupunya yang sebaya dah mula merangkak dan berjalan tapi Qhalish hanya mampu menyeret kaki. Tak mahu Qhalish ketinggalan, suami buat research dan cipta sebuah kerusi roda khas untuk Qhalish.

qhalish 3

Qhalish bersama kakak sulungnya yang setia menemani.

"Kami banyak dapat inspirasi untuk buat kerusi roda itu daripada video luar negara di YouTube.

"Suami yang bekerja sebagai jurutera mekanikal buat from scratch. Buat dengan konsep try and error sehingga Qhalish sesuai menggunakannya.

"Memang Qhalish happy sangat sebab boleh bergerak ke sana sini malah dia pandai handle sendiri biarpun waktu mula gunakannya pada usia setahun empat bulan," ujarnya lagi.

Dengan berkat doa dan sokongan keluarga, kami pilih untuk melahirkan bayi ini.

NUR FARADILA AHMAD TARMIZY

IBU

Bercerita lebih lanjut, Nur Faradila berkata anak bongsunya yang kini berusia setahun tujuh bulan baharu selesai menjalani pembedahan memasang implan pada tulang belakang, Jumaat lalu.

"Ini pembedahan fasa pertama... akan ada siri pembedahan lain dari semasa ke semasa mengikut perkembangan Qhalish. Qhalish mungkin dirawat selama sebulan di hospital sebelum dibenarkan pulang," ujarnya.

Nur Faradila dalam pada itu tidak menyangka perkongsiannya mengenai Qhalish di TikTok mengundang perhatian ramai.

qhalish 4

Qhalish bersama keluarganya.

"Saya gembira sedikit sebanyak perkongsian saya memberi inspirasi kepada ibu bapa lain, khususnya yang ada anak istimewa.

"Malah saya terima banyak mesej dan DM bertanya pelbagai soalan. Apa yang saya boleh katakan, terima dan reda dengan anugerah Allah.

"Keduanya, kita sebagai ibu bapalah yang kena beri pendedahan kepada anak terutama mengenai survival yang berguna untuk masa depan mereka.

"Seterusnya, kena positif. Allah uji dengan kekurangan, tapi pasti ada kelebihan. Jangan set dalam fikiran, orang hina anak istimewa. Kitalah yang perlu educate masyarakat," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain