suria

Suri rumah elok tiru teknik ini kalau nak kediaman sentiasa kemas... Jangan lupa libatkan anak dan suami!

Azreena berkongsi beberapa tip untuk menjadikan tugasan mengemas rumah lebih mudah.

MENGEMAS rumah ada kalanya dirasakan berat untuk dilakukan kerana memerlukan keazaman dan kerajinan yang kuat.

Setelah selesai satu tugasan, pasti akan ada yang baharu mengganti tempatnya sehingga dirasakan bertimpa-timpa.

Kini jangan risau, melalui satu hantaran di laman TikTok oleh Azreena, ada dikongsikan petua yang dapat membantu anda supaya lebih proaktif dan bersemangat untuk mengemas rumah.

"Nak uruskan rumah ni boleh jadi memenatkan dan membosankan. Ini cara yang saya amalkan supaya kerja mengemas jadi lebih mudah dan cepat," ujar Azreena.

Ayuh kita lihat!

Kediaman Azreena kelihatan teratur dan kemas.

1) Buat 2 kerja dalam 1 masa

Menurut Azreena, teknik ini juga dipanggil sebagai clean as you go. Konsep yang dimaksudkan di sini adalah membersih rumah sambil menyempurnakan tugasan harian yang lain.

"Contohnya waktu tengah gosok gigi di tandas, bersihkan sekali sinki tu. Atau ketika tengah mandi. cuci sekali lantai bilik air tu.

"Kalau waktu tengah memasak di dapur, boleh terus basuh pinggan tu," jelas Azreena.

2) Tetapkan kewajipan

Sesetengah kerja mungkin perlu dibuat secara rutin. Oleh itu Azreena mencadangkan tugas tersebut dijadikan sebagai perkara wajib dibuat.

"Kalau untuk saya sendiri, saya tetapkan setiap pagi kena mop lantai dapur dan vakum kawasan depan televisyen. Manakala tengah hari selepas makan bersihkan kabinet dapur.

"Kemudian sebelum tidur bersihkan sinki," terang Azreena.

Azreena sangat teliti tentang kebersihan rumahnya.

3) Declutter

Rumah yang berserabut dengan pelbagai barang akan menjadikan proses pembersihan lebih renyah. Oleh itu secara berkala keluarkan barang yang tidak lagi digunakan.

"Beberapa bulan sekali saya akan buat operasi declutter ni supaya rumah jadi kurang barang. Antara tempat yang sesuai untuk declutter adalah almari pakaian, bilik stor, kabinet dapur dan laci.

"Jangan terburu-buru untuk tambah ruang penyimpanan di rumah, cuba kurangkan dulu barang lama menggunakan teknik declutter ini," ujar Azreena.

4) Naik taraf alat pembersihan

Sekiranya ada bajet lebih, disarankan untuk mendapatkan alat pembersihan baharu seperti penyedut hampagas dan mop supaya pekerjaan lebih lancar sekali gus menjimatkan masa. Baru hidup menjadi senang!

5) Pembahagian tugasan

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sudah tiba masanya untuk anda mempercayai ahli keluarga lain bagi bersama menggalas tanggungjawab.

"Kerja mereka mungkin tidak sempurna tapi yang penting kita saling membantu. Kadang tu saya minta tolong anak lelaki untuk buat kerja mudah seperti buang sampah dan sidai baju," jelas Azreena.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain