suria

Rupanya ini helah jurujual barang elektrik... Patut la kualiti TV HD nampak cantik di kedai, balik rumah jadi ‘malap’

Televisyen menjadi medium hiburan masa kini. -Gambar hiasan

GEDUNG perkakas rumah menawarkan beraneka pilihan televisyen berdefinisi tinggi.

Kesemua televisyen tersebut kebiasaannya akan dipamerkan sambil memaparkan siaran yang sungguh jelas butirannya, sehingga mampu memukau pandangan sesiapa yang melihat.

Namun pastinya mendukacitakan pembeli apabila televisyen model sama di rumah tidak berupaya mencapai tahap kualiti serupa seperti mana di kedai menjual barangan elektrik.

Melalui satu hantaran di Internet, seorang penyunting video dikenali sebagai Troy mengupas tentang perkara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampaknya pengguna ‘front load’ lebih untung... Ini penjelasan tentang muatan sebenar dua jenis mesin basuh

"Ketika di kedai, jurujual akan tayangkan video ulangan daripada komputer yang berkapasiti besar.

"Video ini disunting khas dengan resolusi 4K dan kadar bit yang tinggi. Juga dilengkapi high dynamic range (HDR) dan Dolby Vision. Jauh beza daripada kegunaan biasa di rumah.

"Satu lagi jurujual akan naikkan kecerahan televisyen ke tahap tertinggi, itu yang warnanya nampak lebih menyerlah. Tengok sekilas lalu memang best, tapi kalau tonton lama-lama, mata mesti akan jadi berair dan penat.

"Ini semua trik untuk bagi televisyen nampak gah, baru pengunjung terdorong nak beli," jelas Troy.

Pemilihan televisyen baharu perlu dibuat dengan teliti. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, seorang juruteknik dikenali sebagai Abang Elektrik turut tampil memberikan petua di laman TikTok.

"Kalau dekat kedai ni, televisyen tu akan diletakkan dalam demo mode. Maksudnya mereka akan memaksimum kualiti imej yang dipaparkan supaya nampak lebih cantik.

"Jadi kalau nak bandingkan, kena la buat dengan betul. Lakukan perbandingan dengan siaran yang kita selalu tengok dekat rumah, misalnya macam Astro atau Netflix.

"Sebab tu waktu meronda dalam kedai televisyen, jangan hanya tengok demo mode yang dimainkan, sebaliknya minta mereka tukar saluran kepada Astro atau yang seangkatan dengannya.

"Apabila macam tu baru kita dapat buat perbandingan yang setara, apple to apple. Dekat rumah bukannya kita nak tengok demo mode tu," terang Abang Elektrik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain