MEMBERSIHKAN kerak degil pada periuk nasi pastinya satu masalah. Periuk yang berkerak perlu direndam terlebih dahulu bagi memudahkan proses cucian. Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang pemuda dikenali sebagai Afas Fahmie berkongsikan petua mudah untuk memasak nasi kukus ala-ala restoran. "Masak nasi macam ni senang, tak perlu pening kepala fikir tentang periuk kotor. Tinggal bilas je. "Sesuai untuk orang bujang seperti aku yang tak makan nasi banyak, boleh masak sedikit je. Barulah tak membazir," jelas Afas Fahmie. Ayuh kita lihat bagaimana tekniknya! Tip mudah memasak nasi kukus. Langkah-langkah: 1) Basuh beras seperti biasa, seterusnya masukkan beras ke dalam mangkuk kaca yang tahan panas. 2) Campurkan air bersama beras di dalam mangkuk, sukatan sama seperti ketika anda memasak nasi menggunakan cara biasa. 3) Isi air ke dalam periuk nasi, biar banyak, jangan sedikit kerana jika terkurang air boleh menyebabkan nasi menjadi kering. 4) Letakkan mangkuk ke dalam periuk nasi yang sudah diisi air dan pastikan ia dapat terapung dengan stabil. 5) Kini masak seperti biasa. 6) Selepas 15 hingga 20 minit, bawa keluar nasi yang sudah siap dimasak. Jangan biarkan mangkuk terlalu lama di dalam periuk nasi kerana boleh menyebabkan ia pecah. Maklum balas netizen: "Petua ni memang penyelamat untuk aku yang malas membasuh periuk nasi, leceh betul nak menyental kerak tu. "Alhamdulillah boleh jimat tenaga, mangkuk tu pun senang je nak basuh. Ucapkan selamat tinggal kepada kerak nasi," demikian kata sebahagian warga maya. - Afas Fahmie Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube