PELBAGAI teknologi penyaman udara diperkenalkan bertujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Antaranya adalah penyaman udara inverter dan non-inverter (biasa). Namun gempar pendedahan di media sosial mendakwa penyaman udara berteknologi inverter tidak disesuai dipasang pada tempat terbuka di dalam kediaman seperti ruang tamu. Dikatakan penyaman udara tersebut terpaksa bekerja keras sehingga akhirnya memakan tenaga yang banyak. Perkara ini ada dijelaskan dengan lebih lanjut oleh seorang juruteknik dikenali sebagai Abang Elektrik di laman TikTok. Penyaman udara diperlukan dalam keadaan cuaca Malaysia yang panas. -Gambar hiasan Apakah itu penyaman udara inverter? Abang Elektrik menegaskan sebelum kupasan dimulakan, penting untuk seseorang itu memahami apakah yang dimaksudkan dengan penyaman udara inverter. "Penyaman udara inverter dilengkapi pemampat (compressor) yang mempunyai banyak 'gear' atau dalam bahasa teknikalnya rotation per minute (RPM). "Ia berkebolehan untuk melaraskan kelajuan pemampat berdasarkan keadaan persekitaran, kalau lagi panas suhu, pemampat akan dipasang dengan lebih laju. "Kalau suhu rendah, pemampat akan berjalan dengan lebih perlahan, sebab tu jimat tenaga. Manakala penyaman udara non-inverter pula, pemampat dipasang pada full-power hampir sepanjang masa. ARTIKEL BERKAITAN: Kontraktor pun setuju, ini 4 posisi ‘aircond’ paling tak sesuai dalam rumah... Punca bil elektrik melonjak! "Contohnya kita letak suhu penyaman udara 24 darjah Celcius, apabila suhu bilik naik je kepada 25 darjah Celcius, pemampat akan terus diaktifkan dengan kuasa penuh untuk menyejukkan kembali ruang," jelas Abang Elektrik. Seterusnya analogi dibuat antara penyaman udara dengan basikal bagi memudahkan pemahaman "Macam basikal, sesetengah mempunyai gear dan ada juga yang biasa. Katakan kita nak pergi mengayuh dalam hutan, kebiasaannya kita akan pilih basikal bergear supaya boleh jimat tenaga ketika mengayuh "Kita boleh sesuaikan kayuhan ikut keadaan jalan, tak perlu la setiap masa kena mengerah kudrat. Samalah ceritanya untuk penyaman udara inverter dan juga non-inverter," terang Abang Elektrik. Penyaman udara inverter di ruang tamu Menurut Abang Elektrik, di dalam tempat terbuka, penyaman udara inverter sukar untuk menetapkan kelajuan pemampat yang tetap, bermaksud keistimewaan teknologinya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. "Ruang tamu ni kawasannya luas, kadang-kadang sampai ke dapur, jadi susah penyaman udara inverter nak mengekalkan kelajuan pemampat pada tahap yang efisien. Nak tak nak ia tetap perlu full-power. "Jadi sebab tu kalau tempat terbuka, penyaman udara inverter dan non-inverter tak banyak beza penjimatannya. Penyaman udara inverter lebih efektif dalam ruang tertutup seperti bilik tidur dan sebagainya. "Kesimpulannya, kalau di ruang tamu, saya sarankan untuk pasang penyaman udara non-inverter saja," ujar Abang Elektrik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube