suria

Ramai keliru istilah mati mengejut... Jangan cepat buat andaian, meninggal sakit jantung turut dikira SDR!

SDR hanyalah satu bentuk klasifikasi bentuk atau jenis kematian.

KES kematian penyanyi Nidza Afham yang ditemukan tidak bernyawa di Sungai Klang pada Rabu lalu ternyata mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kematian penyanyi berusia 23 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Laporan berita tentang perkara itu menjadi perdebatan netizen di media sosial sehingga ada yang mengeluarkan andaian-andaian serta teori tidak berasas.

Namun, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mati mengejut?

Berikut kami kongsikan penjelasan tentang kematian mengejut yang pernah dibuat oleh pakar perubatan forensik, Dr Muhammad Yazid Yahya yang disiarkan menerusi laman sesawang I-Medik.

Neutral-Elegant-Product-Beauty-Fashion-Portfolio-Presentation-2-q2wnfsut4k16iribizfymt4pvbijjlmmdksxm9wkcg

Penjelasan tentang maksud sebenar klasifikasi mati mengejut.

Konotasi ‘mati mengejut’ biasanya difahami sebagai kematian tabiie (natural death) secara tiba-tiba seperti serangan jantung, strok berdarah dan seumpamanya.

Namun perlu dilihat kenyataan yang penuh adalah ‘klasifikasi mati mengejut – SDR’.

SDR merujuk ‘Sudden Death Report’ dan ia hanyalah satu bentuk klasifikasi bentuk atau jenis kematian.

Kebiasaannya kematian dalam siasatan pihak polis akan dibuka mengikut beberapa kategori atau klasifikasi iaitu:

1) SDR (mati mengejut)

2) Jenayah

3) Kematian melibatkan trafik iaitu kematian di jalan raya.

Maka, dipertegaskan bahawa SDR hanyalah satu bentuk klasifikasi.

Kes seorang yang menggantungkan diri dikira SDR, mati lemas dikira SDR, mati akibat serangan jantung juga dikira SDR, malah mati akibat renjatan elektrik juga adalah SDR.

nidza 1

Kes Nidza Afham diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kebanyakan kes sebegini, melalui siasatan awal akan dibuka di bawah klasifikasi SDR.

Jika terdapat maklumat lanjut melalui siasatan polis dan pemeriksaan post mortem bahawa terdapat unsur jenayah, maka kes akan diangkat menjadi kes Jenayah.

Ada juga kes yang pada mulanya dilihat sebagai jenayah dan dibuka siasatan bawah klasifikasi Jenayah.

Namun setelah selesainya post mortem dan siasatan lanjut, akan diturunkan menjadi kes SDR.

Maka di sinilah keperluan post mortem, bukan sekadar untuk tahu sebab kematian secara biologi (biological cause of death), tetapi untuk membantu melengkapkan siasatan polis bagi menyimpulkan siasatan sebab kematian secara legal (legal cause death).

Takrifan ‘Cause of Death’ ada definisi tersendiri mengikut perundangan negara.

Kesimpulannya, ini semua hanyalah aspek teknikal (technicalities) dalam pengurusan kematian di negara ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain