RAMAI beranggapan rokok elektronik atau vape lebih selamat berbanding rokok biasa. Namun hakikatnya, menghisap vape juga boleh membahayakan kesihatan manusia. Kajian terkini menunjukkan gen penekan tumor adalah gen yang paling terjejas pada pengguna vape dan perokok biasa. Ia berdasarkan kajian pasukan dari Sekolah Perubatan Keck di Universiti California Selatan membandingkan perubahan epigenetik dalam DNA orang muda yang menggunakan vape, merokok, atau tidak menggunakan produk nikotin. Hasilnya, orang muda yang menggunakan vape menunjukkan perubahan kimia pada DNA yang serupa dengan perubahan pada DNA orang muda yang merokok, dan perubahan ini dikaitkan dengan kanser. Dalam kajian ini, pasukan penyelidik mengukur metilasi DNA, iaitu perubahan kimia DNA yang boleh mengaktifkan atau mematikan gen, dalam sel mulut pengguna vape, perokok, dan bukan perokok. Pelbagai jenis vape dijual secara terbuka di pasaran. -Gambar hiasan Metilasi DNA penting untuk fungsi normal sel, tetapi jika terganggu, ia boleh menyebabkan kanser dan penyakit lain. Dengan menggunakan teknik penjujukan genetik yang canggih, pasukan penyelidik menganalisis hampir keseluruhan genom sel peserta kajian, berbanding kajian sebelumnya yang hanya menganalisis sebahagian kecil genom. "Penemuan kami menunjukkan perubahan dalam metilasi DNA pada pengguna vape boleh menyumbang kepada perkembangan penyakit, termasuk kanser," kata Stella Tommasi, penulis utama kajian tersebut. Tambahnya, hasil kajian ini menjadi bukti rokok elektronik tidak 'sesihat' seperti yang disangka, walaupun kandungan karsinogen dalam cecair vape lebih rendah berbanding rokok biasa. - Kompas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube