PERALIHAN dari kehidupan di rumah ke kehidupan berasrama adalah salah satu perubahan besar dalam diri seorang pelajar. Lazimnya, bagi pelajar yang menginjak ke usia remaja, fasa ini merupakan tempoh kritikal dalam perkembangan sosial, emosi dan psikologi individu. Oleh itu, keputusan untuk menghantar anak ke asrama boleh menimbulkan pelbagai risiko yang perlu diberi perhatian. Seorang penceramah tentang seksualiti, Akhi Fairuz memberi amaran mengenai risiko dihadapi anak-anak yang berusia 13 tahun apabila mereka mula tinggal di asrama. Berikut adalah lima perkara yang perlu ibu bapa lakukan untuk mempersiapkan anak mereka sebelum masuk ke dalam dunia kehidupan di asrama: Pendedahan mengenai sentuhan tidak selamat penting diberikan kepada anak-anak. -Gambar hiasan 1. Ajar anak berdikari Pastikan anak-anak sudah mahir dalam kemahiran asas kehidupan seperti mengemas tempat tidur, membasuh baju dan mencuci pinggan mangkuk. Kemahiran ini akan membantu mereka menguruskan diri dengan lebih baik semasa berada di asrama. 2. Fahamkan anak tentang kepelbagaian rakan Terangkan kepada anak bahawa mereka akan berjumpa dengan pelbagai jenis rakan di asrama seperti yang pendiam, peramah, pendendam atau pembuli. Sesetengah daripada mereka mungkin sudah terdedah kepada perkara seperti rokok elektronik (vape). Maka, persiapkan anak untuk menghadapi pelbagai jenis personaliti agar mereka tidak mengalami kejutan budaya. 3. Kawal emosi homesick (rindu kampung halaman atau rumah) Jangan biarkan anak terlalu larut dalam perasaan 'homesick' mereka sehingga menangis tanpa henti. Walaupun rasa sedih dan rindu adalah normal, penting untuk mengawal emosi tersebut agar tidak menjejaskan kesejahteraan anak secara keseluruhan. 4. Fahamkan tentang sentuhan selamat dan tidak selamat Anak perlu memahami bahawa asrama boleh menjadi tempat yang berisiko terhadap gejala maksiat termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Ajar mereka untuk tidak melayan orang yang cuba menjadikannya adik angkat, mengajak tidur bersama atau melakukan gurauan melibatkan sentuhan pada bahagian peribadi. 5. Sentiasa tanya khabar dan melawat Kerap berhubung dengan anak dan lakukan lawatan ke asrama untuk memastikan mereka dalam keadaan baik. Usia 13 tahun adalah peringkat yang agak rapuh, di mana mereka baru mula akil baligh. Emosi dan perasaan mereka perlu dijaga dengan baik oleh ibu bapa untuk mengelakkan daripada terjebak dalam perkara yang tidak diingini. Hantaran tersebut dikongsikan semula oleh Pendidik Ilmu Keibubapaan, Dr Taufiq Razif dalam hantaran di halaman Facebook miliknya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube