MENYIMPAN barang-barang yang sudah tidak digunakan lagi seperti kotak telefon lama, pakaian tidak muat atau wayar tidak pasti fungsinya mungkin dianggap sebagai amalan biasa. Namun sebenarnya, tindakan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental individu. Menerusi perkongsian Public Health Malaysia di Facebook, menyimpan barang-barang lama yang sudah tidak lagi digunakan boleh memberikan kesan psikologi. 1. Beban emosi Barang-barang yang tidak digunakan cenderung memenuhi ruang fizikal, boleh menyebabkan individu berasa terperangkap dalam masa lalu. Keadaan ini dapat mencipta perasaan atau beban emosi yang menyukarkan proses mental untuk melangkah ke hadapan. 2. Sukar melepaskan Menyimpan barang lama yang tidak digunakan boleh menghalang individu daripada melepaskan memori yang berkaitan. Secara tidak langsung, ia berpotensi melambatkan proses pemulihan dan perkembangan diri di mana individu terjebak dalam kenangan yang mungkin tidak lagi relevan. Kesejahteraan mental terjejas sekiranya menyimpan barang lama. -Gambar hiasan 3. Penundaan atau penangguhan Peningkatan jumlah barang yang disimpan menjadikan individu sukar untuk membuat keputusan mengenai apa yang perlu disimpan atau dibuang. Fenomena ini sering mengakibatkan penundaan dalam membuat keputusan penting dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan mental. Bagi menangani kesan negatif penyimpanan barang lama, adalah penting untuk melaksanakan proses decluttering secara berkala. Ini tidak hanya membantu mencipta ruang fizikal yang lebih lapang, bahkan juga menyumbang kepada kebersihan mental. 1. Fokus barang penting Utamakan barang-barang yang benar-benar memberi nilai dalam kehidupan seharian. Dengan mengenal pasti item yang mempunyai fungsi atau makna, proses penyimpanan dapat menjadi lebih teratur. 2. lepaskan barang tidak diperlukan Melepaskan barang-barang yang tidak diperlukan bukanlah satu kerugian, tetapi juga merupakan langkah penting dalam membina keseimbangan emosi yang sihat. Dengan 'berani' melepaskan, individu dapat merasai perubahan positif di mana ruang yang baru dapat membawa ketenangan dan kejelasan dalam kehidupan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube