suria

Bahaya bersukan tanpa persediaan, boleh cederakan buah pinggang! Ikut panduan ini, elak kena buat dialisis

Sebagai permulaan elak daripada melakukan aktiviti sukan pada tahap tinggi. -Gambar hiasan

TULAR di media sosial kisah seorang pempengaruh berkongsi pengalaman mengerikan apabila dia disahkan menghidap penyakit Rhabdomyolysis.

Rhabdomyolysis berlaku apabila badan tidak mampu menanggung pergerakan fizikal melampaui daya tahannya sehingga menjejaskan saraf dan buah pinggang serta boleh membawa maut.

Kisahnya bermula apabila wanita dikenali sebagai Sofea Shra itu bersemangat untuk mencuba senaman spin bicycle, salah satu bentuk latihan berintensiti tinggi yang kini semakin popular.

Beberapa jam selepas sesi latihannya, dia mula mengalami sakit otot yang teramat sangat.

Tetapi selepas dua hari tanpa sebarang perubahan, dia mendapatkan doktor dan melakukan pemeriksaan darah.

Hasilnya mengejutkan apabila doktor mengesahkan bahawa dia mengalami Rhabdomyolysis akibat paras Creatine Kinase (CK) iaitu sejenis enzim yang terdapat dalam tisu jantung, tisu otot dan tisu otak sangat tinggi.

Aktiviti bersukan berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri. -Gambar hiasan

Apa yang berlaku terhadap Sofea Shra boleh dijadikan iktibar lebih-lebih lagi jika anda mahu melakukan aktiviti kecergasan.

Adalah digalakkan untuk melakukan sedikit bacaan dan persediaan sebelum menyertai apa jua aktiviti sukan yang tidak pernah disertai bagi mengelak berlakunya kerosakan Rhabdomyolysis.

Kerosakan ini akan menyebabkan protein myoglobin dilepaskan ke dalam aliran darah lalu menyekat saluran darah di buah pinggang hingga menyebabkan kerosakan serius.

Dalam kes-kes yang teruk, Rhabdomyolysis boleh mengakibatkan keperluan untuk rawatan dialisis.

Gejala lain termasuk kesakitan otot yang ekstrem, kelemahan, bengkak dan perubahan warna air kencing menjadi gelap.

Beberapa aktiviti fizikal yang berisiko tinggi untuk menyebabkan Rhabdomyolysis termasuk:

1. Spin bicycle atau HIIT (High-Intensity Interval Training)

Latihan yang sangat intensif ini dapat menyebabkan tekanan yang luar biasa pada otot.

2. Lari maraton atau ultramaraton

Jarak panjang dan intensiti yang tinggi meningkatkan risiko kecederaan otot.

3. Latihan beban berlebihan

Angkat berat yang berlebihan atau program seperti CrossFit tanpa pengawasan yang tepat boleh memicu keadaan ini.

Kerosakan buah pinggang boleh berlaku sekiranya terkena rabdomiolisis. -Gambar hiasan

Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang berkesan bagi mengelakkan risiko Rhabdomyolysis:

1. Mulakan secara perlahan

Penting untuk menambah intensiti senaman secara berperingkat, terutamanya jika anda baru memulakan program latihan. Jangan terburu-buru untuk mencapai tahap yang tinggi.

2. Pastikan penghidratan mencukupi

Dehidrasi boleh memperburuk risiko rhabdomyolysis. Oleh itu, pastikan untuk minum air yang mencukupi sebelum, semasa dan selepas sesi senaman.

3. Berhenti jika berasa sakit

Jika anda mula merasakan tanda-tanda keletihan atau kesakitan otot yang tidak biasa, jangan abaikan isyarat tersebut. Berhenti dan berehat adalah langkah yang bijak.

4. Pilih program senaman yang sesuai

Sesuaikan jenis dan intensiti senaman dengan tahap kecergasan dan pengalaman anda. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada jurulatih profesional.

5. Pantau gejala

Selalu peka terhadap perubahan dalam tubuh.Segera dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami simptom yang mencurigakan seperti sakit otot yang berpanjangan, bengkak atau urin berwarna gelap.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain