PERJALANAN dengan menaiki pesawat sering menimbulkan kebimbangan dan dilema bagi ibu hamil. Sesetengah ibu mengandung tetap mahu meneruskan aktiviti bercuti atau bekerja di luar kawasan menaiki pesawat tetapi pada masa yang sama risau tentang keselamatan diri dan janin. Beberapa keadaan khusus boleh menjadikan perjalanan terutamanya menggunakan pengangkutan udara berisiko bagi ibu hamil. Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Mayapada Hospital Jakarta Selatan, Indonesia, Dr Andika Widyatama, perkara pertama yang perlu diambil kira adalah usia kandungan. Dr Andika menyarankan agar ibu hamil yang berada di fasa trimester pertama atau dengan usia kandungan yang masih muda sebaiknya mengelakkan perjalanan jauh, khususnya dengan pesawat. Ini kerana ibu hamil di trimester pertama sering mengalami mual dan muntah yang boleh bertambah teruk jika terpaksa mengharungi perjalanan jauh. Ibu hamil perlu mengutamakan keselamatan bayi sebelum membuat sebarang keputusan. Situasi ini juga berlaku kepada ibu hamil yang sudah memasuki trimester ketiga, iaitu usia kehamilan di atas 28 minggu. Ibu hamil pada tahap ini berisiko lebih tinggi mengalami kontraksi (otot rahim mengetat) atau kelahiran pramatang. Menurut Dr Andika, tempoh yang paling ideal untuk terbang adalah ketika usia kandungan antara 14 hingga 28 minggu, iaitu pada trimester kedua. Selain usia kandungan, Dr Andika juga menekankan beberapa keadaan kesihatan yang boleh menjadikan perjalanan dengan pesawat berisiko, antaranya termasuk: 1. Komplikasi seperti anemia 2. Jangkitan semasa kehamilan 3. Keguguran 4. Tekanan darah tinggi 5. Diabetes 6. Tempoh kontraksi yang mungkin menyebabkan ancaman kelahiran pramatang Ibu hamil yang mempunyai keadaan-keadaan ini sebaiknya mempertimbangkan dengan teliti sebelum memutuskan untuk melakukan perjalanan dengan pesawat. Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, ibu hamil boleh membuat keputusan yang lebih bijak sama ada untuk meneruskan perjalanan dengan pesawat atau tidak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube