suria

Melatah hanya sindrom Melayu? Rupanya zaman penjajah British sudah ada, orang perempuan paling ramai

Melatah sering dikaitkan dengan orang Melayu. -Gambar hiasan

MELATAH sering dianggap sebagai fenomena unik yang hanya wujud dan dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

Ketika melatah, seseorang itu memberi respons dalam satu bentuk reaksi terhadap kejutan yang berlaku secara spontan.

Namun, adakah benar ia terhad kepada bangsa Melayu sahaja?

Melatah yang juga dikenali sebagai sindrom kejut merupakan salah satu contoh sindrom berkait budaya CBS (culture-bound syndrome).

CBS merujuk kepada keadaan yang khusus kepada budaya tertentu dan tidak semestinya berlaku dalam semua budaya.

Selain melatah, contoh CBS lain dalam masyarakat Melayu termasuk mengamuk namun fenomena ini bukanlah satu-satunya sindrom kejut.

Sindrom ini juga boleh ditemui dalam budaya lain, walaupun dengan nama dan bentuk yang berbeza.

Situasi mengejutkan boleh menyebabkan seseorang individu melatah. -Gambar hiasan

Sebagai contoh, di utara Amerika Syarikat, terdapat sindrom dikenali sebagai Jumping Frenchmen of Maine.

Di Jepun, orang Ainu mengalami sindrom yang dipanggil imu, manakala di Filipina ia dikenali sebagai silok.

Semua sindrom ini termasuk dalam kategori startle disorder atau hyperekplexia, yang biasanya diwarisi melalui genetik.

Catatan awal mengenai melatah ditemui dalam tulisan seorang peguam Inggeris, JR Logan yang mengkaji fenomena ini semasa lawatannya dari Melaka ke Naning pada tahun 1849.

Logan mendapati bahawa wanita Melayu lebih cenderung mengalami melatah berbanding lelaki dan pada mulanya ia dianggap sebagai rosak saraf.

Gabenor Frank Swettenham juga mengkaji melatah dan menceritakan pengalamannya dalam buku Malay Sketches pada 1895, di mana dia menggambarkan bagaimana seorang pegawai polis melatah akibat gurauan daripada rakan sekerjanya.

Dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM), melatah dikelaskan dalam kategori DSM-IV dan melibatkan simptom seperti echopraxia (mengulang perbuatan orang lain tanpa kawalan), echolalia (mengulang kata-kata orang lain tanpa kawalan) dan mengikuti arahan orang lain tanpa kawalan.

Oleh itu jika anda mempunyai rakan yang melatah, elakkan membuat kejutan atau gurauan yang boleh mencetuskan reaksi tersebut.

Walaupun kelihatan kelakar dilihat, melatah sebenarnya adalah keadaan sukar dikawal oleh individu yang mengalaminya dan boleh menjadi sangat memenatkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain