suria

Kes baharu cacar monyet, geng homoseksual kena tempias! Fahami cara penularan sebenar

Golongan songsang dituduh menjadi punca penularan cacar monyet. -Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa melaporkan kes baharu cacar monyet (mpox) varian clade II yang melibatkan seorang lelaki tempatan.

Pesakit mula menunjukkan gejala pada 11 September lalu dan diikuti dengan ruam pada hari berikutnya.

Laporan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat yang mengaitkan penyakit ini dengan golongan homoseksual sebagai punca utama penularannya.

Apa yang lebih mengejutkan, penyakit ini lebih banyak disebut sebagai 'cacar monyet gay', kerana ramai penghidap terdiri daripada golongan songsang.

Jadi, penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai cara penularan penyakit ini bagi mengelakkan salah faham dan stigma tidak wajar terhadap mana-mana golongan.

Menurut Hello Doktor, terdapat lima tanda atau simptom yang boleh dilihat dengan agak jelas sekiranya seseorang itu dijangkiti mpox (lihat simptom di bawah)

1. Demam

2. Pembengkakan kelenjar limfa

3. Sakit kepala dan otot

4. Ruam dengan kelepuhan pada tangan, kaki, muka, mata, mulut dan kemaluan

5. Kekurangan tenaga

Hubungan sejenis adalah dilarang dalam Islam. -Gambar hiasan

Harus diakui bahawa kebanyakan kes cacar monyet yang dilaporkan di seluruh dunia melibatkan sebahagian besar komuniti homoseksual seperti kelompok gay.

Sebabnya, sesetengah kes telah dikesan di klinik-klinik kesihatan seksual dalam komuniti ini yang bukan sahaja melibatkan kelompok gay, tetapi juga biseksual dan lain-lain lagi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun menegaskan cacar monyet bukanlah khusus berlaku kepada golongan gay sahaja kerana ia bukan penyakit seksual seperti jangkitan STD (sexually transmitted disease) lain.

Penyakit ini bukan hanya berjangkit melalui hubungan seksual tetapi merebak melalui sentuhan rapat (kulit ke kulit) dengan penghidap serta melalui cecair tubuh dan barang-barang peribadi tercemar.

Ada beberapa tip dan langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko menjangkiti atau dijangkiti penyakit ini seperti:

1. Elakkan sentuhan kulit ke kulit dengan individu yang mempunyai simptom

2. Cuci tangan, objek, dan permukaan yang disentuh dengan kerap

3. Pakai pelitup muka jika berhubung rapat dengan penghidap

4. Kuarantin di rumah atau berjumpa doktor jika mengalami simptom

5. Elakkan stigma dan diskriminasi

Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat mengurangkan risiko jangkitan cacar monyet dan melindungi diri serta orang di sekitar anda.

Sebagai peringatan, hubungan sejenis dilarang dalam Islam dan bertentangan dengan ajaran agama, justeru berdosa besar jika dilakukan.

Kita perlu sentiasa mematuhi prinsip-prinsip agama dan berusaha untuk menjalani kehidupan yang selaras dengan tuntutan syariah serta nilai-nilai Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain