PERSEKITARAN kerja yang toksik boleh menyebabkan seseorang itu hilang semangat seterusnya mengalami tekanan perasaan. Malah ada yang cenderung untuk berhenti kerja bagi menjaga kesihatan mental daripada menjadi semakin teruk. Anda yang berdepan situasi sama, cuba amalkan tip daripada Kementerian Kesihatan (KKM) ini seterusnya mengelakkan daripada membuat keputusan terburu-buru seperti berhenti kerja. Ini kerana, cara anda menguruskan stres dapat memberikan impak positif pada diri sendiri dan persekitaran. 1. Tingkatkan sokongan sosial di tempat kerja Tekanan di pejabat bukan semata-mata berpunca daripada lambakan kerja tetapi turut melibatkan rakan sejawat mahupun majikan. Terdapat beberapa kes berhenti kerja melibatkan masalah dengan rakan sepejabat yang bersikap toksik dan tidak membantu. Oleh itu, anda disarankan untuk belajar teknik berkomunikasi secara berkesan dan menangani kritikan dengan baik. Mengurus masa dengan baik dapat membantu menyelesaikan bebanan kerja. -Gambar hiasan 2. Urus masa dengan baik Kadang kala, kesibukan harian membuatkan kita berasa letih dan penat sehingga akhirnya memberikan tekanan emosi. Anda yang melalui situasi ini perlu sentiasa ingatkan diri bahawa 'kerja tidak akan habis'. Jadi, uruskan masa anda sebaiknya dengan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau bersendirian. Melancong beberapa hari juga dapat membantu mengurangkan tekanan ya. 3. Amalkan pemikiran positif dan rasional Tidak dinafikan bahawa tekanan kerja dan masalah yang dialami membuatkan kita cenderung untuk bersikap negatif. Malah kadang kala, pemikiran juga dipengaruhi unsur negatif seterusnya berlaku tindakan yang kurang rasional. Sebaiknya, anda tarik nafas dan hembus perlahan-lahan apabila mengalami kekusutan. Belajarlah teknik relaksasi yang berkesan di samping mengamalkan gaya hidup sihat. 4. Urus konflik di tempat kerja dengan baik Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Jika anda mengalami konflik bersama rakan sekerja atau majikan, cuba berkomunikasi dengan baik dan mencari punca masalah terlebih dahulu. Elakkan daripada terus dibelenggu emosi marah kerana ia akan memudaratkan anda serta kerja. Belajarlah menyelesaikan masalah dengan berkesan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube