suria

Anak lebih berjaya jika diajar buat kerja rumah, terlalu dilindungi ibu bapa hanya rencat keupayaan - Kajian

Didikan tentang kerja rumah perlu dimulakan sejak kecil. -Gambar hiasan

MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya.

Ungkapan generasi terdahulu itu, menjelaskan bahawa didikan dan tunjuk ajar perlu bermula dari kecil kerana ia sukar dilakukan apabila usia anak sudah meningkat dewasa.

Perkara sama turut diketengahkan pasukan penyelidik di Stanford University.

Menurut bekas Dekan Mahasiswa Baharu universiti itu, Julie Lythcott-Haims, kanak-kanak yang dididik melakukan kerja-kerja rumah sejak kecil cenderung untuk menjadi orang dewasa yang berjaya.

Dia juga mendasarkan pendirian tersebut pada penyelidikan dari Harvard Grant Study, kajian longitudinal terpanjang yang pernah ada.

Kanak-kanak yang diajar melakukan kerja rumah lebih bertanggungjawab. -Gambar hiasan

Kanak-kanak yang diajar melakukan kerja rumah lebih bertanggungjawab. -Gambar hiasan

Mengulas mengenainya, ujar Julie, kanak-kanak yang membesar dengan melakukan kerja-kerja rumah seperti melipat pakaian dan membasuh pinggan mangkuk akan belajar tentang erti tanggungjawab.

Menerusi program TED Talk, dia turut mendedahkan cara ibu bapa membesarkan anak-anak yang berjaya.

"Kajian Geran Harvard mendapati bahawa kejayaan profesional dalam hidup... datang daripada melakukan kerja-kerja sebagai seorang kanak-kanak.

"Lebih awal anda memulakannya adalah lebih baik... jika anak-anak tidak mencuci pinggan, ini bermakna orang lain melakukannya untuk mereka.

"Oleh itu, mereka bukan sahaja dibebaskan daripada kerja, tetapi belajar bahawa kerja itu tidak perlu dilakukan walhal setiap daripada kita mesti menyumbang untuk kebaikan keseluruhannya," katanya.

Julie turut menegaskan bahawa, sikap ibu bapa zaman moden yang terlalu melindungi, akan menghalang dan merencatkan keupayaan diri anak-anak.

Susulan itu, dia mengesyorkan agar ibu bapa mengembangkan definisi kejayaan anak-anak daripada memperoleh markah ujian atau kerjaya tertentu kepada kebolehan untuk berdikari. - Mother.ly

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube