MENANGIS merupakan cara bayi yang baru dilahirkan berkomunikasi atau meluahkan sesuatu. Bagaimanapun, jika bayi menangis secara berterusan dan hanya berhenti pada waktu tidur, ia mungkin petanda kepada sawan tangis atau kolik (berterusan menangis). Ibu bapa yang berdepan dengan situasi tersebut pasti berasa letih dan tidak bertenaga disebabkan kurang tidur kerana terpaksa menjaga bayi yang menangis tanpa henti. Bagi pasangan yang pertama kali bergelar ibu dan ayah, situasi tersebut pastinya membuatkan anda berasa panik. Perkara sama dilalui wanita berusia 29 tahun ini. Dia yang mesra disapa Erin berkata, sawan tangis berlaku terhadap anak sulungnya sejak dilahirkan sehingga berusia tiga minggu. Erin bersama anaknya yang kini berusia dua bulan. "Anak menangis setiap hari dan berhenti semasa waktu tidur sahaja. "Saya pernah dapatkan rawatan perubatan Islam, tetapi anak berhenti menangis sehari je... kemudian dia kembali menangis," ujarnya kepada mStar. Susulan itu, dia cuba mendapatkan nasihat dan cara tradisional untuk membantu merawat anaknya. "Nenek kakak ipar saya bagi petua, katanya mandikan anak di celah kelangkang suami. "Alhamdulillah, selepas sekali lakukan amalan tersebut, anak berhenti menangis sehinggalah sekarang, berusia dua bulan," jelasnya. Erin turut melukiskan cara yang dilakukannya. Usaha yang berhasil itu membuatkan Erin tampil untuk berkongsi di laman TikTok miliknya. Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan para ibu turut mengakui keberhasilan kaedah yang dilakukan itu. Sementara itu, berdasarkan kenyataan di laman web myhealth, menangis berterusan adalah masalah biasa bagi bayi baru lahir atau berusia kurang satu tahun. Bayi normal kebiasaannya menangis satu hingga tiga jam sehari. Bagaimanapun, sekiranya menangis berterusan, bayi berkemungkinan mempunyai masalah kesihatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube