suria

Mahu anak genius dapat masuk universiti seawal umur 12 tahun? Ibu hamil boleh cuba amalan mudah ini

Tidur mencukupi membantu melahirkan anak yang bijak. - Gambar hiasan

IBU bapa mana yang tak mahu anak mereka bijak dan masuk universiti sewal usia 12 tahun seperti mana kanak-kanak tular, Izz Imil Shahrom yang diterima masuk ke Universiti Malaya dan mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Perkara ini bukan mustahil dan golongan ibu boleh mencuba amalan ini walaupun bayi masih dalam kandungan.

Menurut Public Health Malaysia tidur yang mencukupi bukan hanya penting untuk kesihatan ibu, tetapi juga untuk perkembangan optimum anak dalam kandungan.

Menerusi perkongsiannya, organisasi ini menyatakan bahawa kurang tidur ketika mengandung berisiko menyebabkan anak lambat untuk bercakap.

"Nak anak pandai dan masuk universiti masa umur 12 tahun. Tapi tidur jam 12 tengah malam bangun 6 pagi.

"Kajian terbaru yang diterbitkan dalam 'Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism' mendapati ibu yang tidur kurang dari tujuh jam setiap malam berisiko tinggi melahirkan anak yang lambat berkembang dari segi sosial, emosi, dan percakapan.

"Kajian ini melibatkan lebih 7,000 ibu dan anak dan hasilnya menunjukkan anak lelaki lebih terkesan," kata Public Health Malaysia lagi.

Tidur kurang tujuh jam menganggu perkembangan anak. -Foto Public Health Malaysia

Tidur kurang tujuh jam menganggu perkembangan anak dalam kandungan. -Foto Public Health Malaysia

Platform kesihatan itu menyatakan kebiasaanya ibu mengandung sukar untuk tidur disebabkan perubahan hormon, kerap ke tandas, atau rasa tidak selesa.

"Ibu yang mengalami Short Sleep Duration (SSD) juga berisiko mengalami diabetes sewaktu hamil, yang seterusnya boleh menjejaskan perkembangan otak anak dalam kandungan.

"Data menunjukkan bahawa ibu yang tidur cukup mempunyai anak dengan perkembangan yang lebih baik, terutama dalam kemahiran sosial dan percakapan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hamil sesuai ke naik pesawat? Jangan tempah tiket dulu... Ini saranan doktor, elak risiko keguguran

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu hamil dilarang makan nanas, didakwa bahaya untuk kesihatan... Tapi apa akan berlaku jika ingkar?

Public Health Malaysia memaklumkan untuk mengelakkan risiko itu, ibu hamil disarankan menjaga corak tidur dengan tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam.

Sementara itu di ruang komen, rata-rata pengguna media sosial yang terdiri daripada kalangan ibu mengakui bukannya mudah untuk mendapatkan tidur yang mencukupi ketika hamil.

Pandangan ibu-ibu berkaitan tidur perlu lebih tujuh jam. - Foto Facebook

Pandangan ibu-ibu berkaitan tempoh tidur lebih tujuh jam. - Foto Facebook

"Patutlah tiada anak saya genius. Kerap kerja shift malam, siang pula sibuk dengan urusan rumah, belum campur masalah sebab perubahan hormon dan fizikal semasa hamil yang banyak mengganggu pola tidur.

"Alangkah indahnya kalau mak-mak dapat tidur lebih dari tujuh jam... ini gaya nak terlelap kejap pun macam-macam onar di buat.

"Tu belum kira masa 'pregnant' dengan awal-awalnya alah, perut bergelora, lapar, dah masuk hujung-hujung nak bersalin keluar masuk tandas. Lepah bersalin lagi tak boleh tidur," beberapa netizen berkongsi pengalaman.

Bagi Lidia Ghazali pula, dia menjaga diet untuk tujuan ini.

"Jika diberi pilihan semua nak tidur awal dan cukup masa tetapi keadaan tak mengizinkan. Cara terbaik ialah jaga pemakanan, ambil la apa-apa vitamin yang dibenarkan dan beranak cukup la setakat mana yang mampu," katanya

"Kadang tu pukul 10 dah baring tapi itulah pusing kiri tak selesa pusing kanan tak selesa. Akhirnya dah penat pusing kiri kanan pukul 12 baru lena," kata Siti Isha pula.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain