GABUNGAN amalan pemakanan dan gaya hidup sihat menjadi kunci warga emas ini boleh meneruskan hidup sehingga lebih daripada satu abad. Jean Dolores Schmidt kini masih bekerja di Universiti Loyola, Chicago lima hari seminggu dengan menaiki bas untuk bertemu pelajar. Pada 21 Ogos lalu, Jean menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-105 dengan tujuh majlis, semua dihoskan oleh universiti, pelajar dan komuniti yang menjadi sebahagian daripada hidupnya. Selain pernah menjadi jurulatih bola keranjang lelaki, Jean menghabiskan seluruh hidupnya sebagai seorang guru, pentadbir dan pengetua di kolej. Dalam satu wawancara dengan Today, Jean berkongsi bahawa selain mewarisi genetik yang baik daripada keluarganya, dia mengamalkan tiga perkara penting: 1. Bermeditasi pagi Setiap hari, wanita ini akan bangun pukul 5 pagi dan meluangkan masa selama 30 minit bermeditasi untuk kesihatan mental dan fizikal. Beberapa kajian menunjukkan bermeditasi boleh meningkatkan mood dan keadaan mental anda dengan ketara. Selain meditasi pagi, Jean sentiasa memastikan dia tidur setiap malam selepas merenung tentang kebaikan yang dilakukannya pada hari itu. Warga emas ini masih bekerja lima hari seminggu walaupun sudah berusia. 2. Makan dengan disiplin Nenek berusia 105 tahun ini berkata Dia makan hampir semua jenis makanan tanpa berlebihan, dengan makan tengah hari sebagai hidangan terberat. Menjelang malam, dia hanya mengambil makanan ringan seperti sup, salad atau sandwich. Menurut wanita itu, dia begitu menjaga diet dengan makan makanan lebih seimbang. Bagaimanapun pada hari ulang tahun kelahirannya, Jean tidak ragu-ragu untuk memanjakan dirinya dengan hidangan kegemarannya iaitu ayam rebus, pasta buatan sendiri, kacang hijau dan kek kesukaannya. 3. Sentiasa berfikir positif dan bahagia Jean berkata kesihatan mentalnya adalah hasil didikan orang tuanya, mencipta suasana keluarga yang harmoni dan bahagia. Dua abang sulungnya juga mengambil berat dan menyayanginya sebagai adik perempuan mereka. Jean juga menambah bahawa dia tidak pernah mengalami kemurungan dan percaya bahawa tekanan memberi kesan tak baik kepada tenaganya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube