ISTILAH bayi songsang atau breech merujuk kepada kedudukan di mana punggung serta kaki bayi berada dekat dengan pintu rahim (serviks) ketika usia kandungan 38 hingga 40 minggu. Keadaan yang tidak normal itu boleh mendatangkan komplikasi ketika bersalin sama ada kepada bayi mahupun ibunya. Menerusi perkongsian di Hello Doktor, sekitar tiga hingga lima peratus wanita hamil dalam minggu kehamilan ke-37 hingga 40, akan melahirkan bayi songsang. Kebanyakan bayi dalam posisi songsang perlu dilahirkan melalui pembedahan caesarean (czer) kerana ia dianggap lebih selamat daripada kelahiran melalui vagina. Bagaimanapun terdapat kaedah perubatan terkini yang dikenali sebagai versi eksternal (EV) untuk memusingkan bayi ke kedudukan yang betul sebelum kelahiran. Ia merupakan kaedah yang dilakukan doktor untuk memanipulasikan bayi dengan cara meletakkan tangan mereka di atas perut dan memacu kedudukan bayi supaya normal. Pembedahan caesarean perlu dilakukan mengikut situasi tertentu. -Gambar hiasan Selain mendapatkan rawatan perubatan, sebagai ibu, anda juga boleh melakukan beberapa amalan yang dikongsikan beberapa ibu di laman TikTok agar bayi dalam kandungan berada di posisi normal sebelum kelahiran sekali gus mengelakkan czer. Berikut merupakan pengalaman mereka yang berhadapan situasi bayi songsang sehingga akhirnya kembali ke kedudukan normal pada usia kandungan mencecah 37 atau 38 minggu sebelum bersalin. Kaedah ini juga sesuai dilakukan sekiranya anda mengalami masalah uri di bahagian bawah atau plasenta previa. 1. Baring sambil mengangkat kaki rapat ke dinding Berdasarkan pengalaman beberapa ibu, bayi yang berada dalam keadaan songsang akan kembali ke kedudukan normal selepas tiga minggu. Oleh itu, anda yang mengalaminya disarankan melakukan amalan ini setiap hari. 2. Kaedah sujud Lakukan kaedah sujud selama 15 minit diikuti angkat kaki pada dinding. Anda yang sibuk dengan tugasan harian di rumah mahupun bekerja, luangkan sedikit masa sebelum tidur kerana kaedah ini paling banyak dicadangkan oleh ibu yang mengalami masalah bayi songsang. 3. Banyakkan posisi tidur mengiring ke kiri Tidur mengiring ke kiri memberi banyak manfaat kepada ibu hamil termasuk melegakan atau mencegah berat rahim daripada menekan vena kava dan menghalang aliran darah ke jantung. Oleh itu, kaedah posisi tidur ke kiri dapat membantu meningkatkan pengaliran darah dan nutrien kepada bayi. Namun begitu, tidur mengiring ke kanan juga boleh diterima dan boleh bersilih ganti antara sisi pada waktu malam membantu mengelakkan ketidakselesaan dan tekanan yang berlebihan pada mana-mana satu sisi. 4. Kerap lakukan brisk walk Kaedah ini juga dikatakan dapat membantu bayi 'bergerak' ke laluan dan para ibu boleh bersalin normal. Ada juga yang menyatakan ia membantu membuka 'laluan' bersalin. 5. Sentiasa bercakap dan pujuk bayi dalam kandungan supaya dia berpusing ke posisi normal. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube