suria

Jangan seronok main air banjir, ini 4 risiko yang mungkin berlaku termasuk renjatan elektrik

Renjatan elektrik boleh berlaku ketika banjir melanda.

BANJIR yang melanda di sesuatu lokasi akan meresahkan penduduk terlibat.

Selain mengganggu emosi, situasi yang berlaku menyebabkan kerosakan harta benda dan jumlah kerugian yang tinggi kepada mangsa.

Namun begitu, ada yang berasa gembira kerana dapat bermain air banjir terutama golongan kanak-kanak dan remaja.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu peka dan mengawal tingkah laku anak-anak supaya kemalangan jiwa tidak berlaku.

Menerusi hantaran di Facebook, pakar kesihatan Dr Rizin Kusop berkongsi risiko yang mungkin berlaku apabila banjir melanda.

1. Air banjir sememangnya keruh dan kotor

Air banjir sebenarnya sangat kotor kerana mengandungi pelbagai sisa terbuang termasuklah najis dari tandas.

Maklumlah, apabila banjir berlaku, semua 'bahan' akan keluar dan bercampur dengan air banjir tersebut.

Keadaan itu boleh menyebakan radang kulit dan juga jangkitan penyakit berlaku, apalagi jika terminum airnya semasa 'mandi banjir'.

Kerosakan harta benda berlaku disebabkan banjir.

Kerosakan harta benda berlaku disebabkan banjir.

2. Haiwan dan serangga berbisa juga hanyut dalam banjir

Selain menjejaskan penduduk setempat, haiwan liar juga terkesan apabila banjir melanda.

Kesemuanya akan hanyut dalam air banjir dan bersedia 'menyelamatkan' diri apabila ada tempat berpaut.

Kaki anda mungkin 'tempat selamat' untuk mereka.

3. Arus elektrik lebih mudah mengalir dalam air yang tercemar dengan pelbagai bahan kimia

Bahan kimia memudahkan pengaliran arus elektrik dari wayar atau tiang eletrik yang basah.

Situasi itu seterusnya mengakibatkan kematian berlaku akibat renjatan eletrik.

4. Permukaan tanah sukar dilihat kerana air keruh

Air yang keruh menyebabkan kita tidak tahu bentuk muka tanah mahupun 'bahaya' di kawasan tersebut.

Malah kadang kala terdapat lubang baharu atau alur parit baharu yang terhasil akibat aliran banjir tanpa diketahui.

Ini menyebabkan seseorang boleh tiba-tiba jatuh ke lubang tersebut seterusnya hanyut dan lemas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain