SEGELINTIR ibu bapa didapati memberi bayi mereka minum sedikit air putih atau kosong, kononnya beranggapan si kecil haus.
Tidak salah sebenarnya namun ia perlu diingat, air masak atau air putih hanya boleh diberikan kepada bayi yang berusia enam bulan ke atas.
Bagi bayi yang belum mencapai usia tersebut, tindakan tersebut adalah dilarang kerana mengundang kemudaratan kepada kesihatan si kecil.
ARTIKEL BERKAITAN: Usus anda mungkin kotor jika ada petanda-petanda ini... Antaranya kentut sangat busuk, mulut berbau
Pengamal perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman yang juga Pengarah Perubatan Klinik Iris Shah Alam menerusi hantarannya di laman sosial menghuraikan sebab mengapa bayi berusia di bawah enam bulan tidak sepatutnya diberikan air.
Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. -Gambar hiasan
- Pada usia yang begitu awal, tubuh mereka sebenarnya masih berkembang dan walaupun sedikit air sahaja boleh mengganggu keseimbangan elektrolit mereka yang sangat sensitif.
- Perut bayi sangat kecil. Sebenarnya, pada saat kelahiran, perut bayi hanya boleh memegang kira-kira satu hingga dua sudu teh (5 hingga 10 mililiter).
- Perut kecil itu perlu diisi dengan susu ibu sahaja atau formula yang kaya dengan nutrien, bukannya air yang tidak mengandungi nutrien. Apatah lagi makanan.
- Pengambilan air yang berlebihan boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai keracunan air (water intoxication) yang boleh mencairkan tahap natrium dalam aliran darah dan mendatangkan kemudaratan kesihatan yang serius kepada bayi, khususnya seawal enam bulan pertama.
Justeru tegas Dr Arisman, susu ibu atau formula sudah memadai kerana menyediakan semua keperluan penghidratan bayi sepanjang beberapa bulan pertama kehidupan mereka.
"Cecair ini bukan sahaja memastikan mereka terhidrat, tetapi juga membekalkan nutrien dan kalori penting untuk pertumbuhan.
"Setelah bayi mencapai usia enam bulan, sedikit air boleh diperkenalkan, tetapi sehingga itu, keperluan penghidratan mereka sebenarnya sudah dipenuhi tanpa air," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube