SETIAP wanita digalakkan untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara atau Breast Self-Examination (BSE) di rumah pada tarikh yang sama setiap bulan. Menurut statistik, pesakit kanser payudara biasanya berusia antara 20 hingga 40 tahun. Bagaimanapun, masih ramai yang takut atau tidak mengambil berat tentang cara mengesan kanser payudara lebih awal. Pemeriksaan secara berkala amat penting kerana ia dapat membantu mengesan kanser payudara pada peringkat awal, sekali gus memudahkan rawatan yang terbaik. Melalui akaun TikTok @muazrdzn yang merupakan seorang doktor pakar perubatan, beliau berkongsi tanda-tanda awal kanser payudara dan kaedah untuk mengesan simptom ini. Wanita digalakkan untuk memeriksa payudara sebulan sekali pada tarikh yang sama. -Gambar hiasan. Tanda-tanda awal kanser payudara Menurut Dr Muaz, ramai wanita mengadu terjumpa ketulan di payudara atau bahagian bawah ketiak. Namun, ketulan tersebut boleh tergolong dalam dua kategori: 1. Non-cancerous (tidak berbahaya) - Contohnya: fibroadenoma, tumor phylloides, mastitis, dan lain-lain. 2. Cancerous (berbahaya) - Contohnya: invasive breast carcinoma, yang boleh merebak ke organ lain seperti hati, otak, dan tulang. Cara melakukan pemeriksaan sendiri (BSE) Berikut adalah langkah mudah untuk melakukan pemeriksaan: - Angkat sebelah tangan ke atas dan letakkan di belakang leher. - Gunakan tiga jari untuk menyentuh payudara anda. - Gerakkan tangan dari bahagian luar payudara ke arah dalam secara perlahan, tanpa mengangkat tangan. - Rasakan jika terdapat sebarang benjolan berbentuk seperti bola kecil. - Picit bahagian puting dan perhatikan jika terdapat sebarang cecair tidak normal seperti lelehan atau darah. Sakit belakang dan sakit tulang merupakan salah satu simptom kanser payudara. -Gambar hiasan. Simptom-simptom lain - Ketulan keras yang tidak bergerak dan melekat pada kulit atau tisu payudara. Walaupun ketulan ini biasanya tidak menyakitkan, ia boleh menyebabkan lelehan pada puting, seperti darah. - Perubahan pada kulit payudara. Contohnya, kulit payudara mungkin kelihatan seperti kulit buah oren atau mengalami dimpling (lekukan pada kulit). - Penurunan berat badan secara mendadak, contohnya kehilangan hingga 10 kilogram dalam masa dua hingga tiga bulan. - Sakit belakang atau sakit tulang, yang menunjukkan kanser telah merebak ke bahagian tersebut. - Sesak nafas boleh berlaku jika kanser merebak ke paru-paru. - Ketulan di bahagian ketiak. Semua simptom ini berbeza mengikut individu, tetapi jika anda mendapati mana-mana tanda ini, segera dapatkan pemeriksaan di hospital untuk memastikan rawatan awal dapat dilakukan. Elakkan melakukan pemeriksaan ketika haid kerana payudara akan terasa lebih lembut atau terdapat ketulan akibat perubahan hormon. Ini boleh menyebabkan kekeliruan sama ada ia tanda awal kanser atau perubahan biasa. Sekiranya anda mendapati tanda-tanda ini, segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan awal. Ingat, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube