suria

Peluh mencurah waktu tidur, pakaian basah lencun... Jurulatih kecergasan ini tak tahu rupanya simptom kanser darah!

Jurulatih kecergasan ini mengabaikan tanda-tanda kanser selama dua tahun sebelum buat pemeriksaan.

SEORANG jurulatih kecergasan di England, Dilan Patel, berkongsi kisah hidupnya yang disahkan menghidap kanser pada usia muda.

Imbas Patel, dia yang pada waktu itu berusia 20-an menjalani kehidupan seperti anak muda lain, namun segalanya berubah pada suatu malam.

Dia terjaga pada tengah malam dan menyedari sesuatu yang tidak kena, tubuhnya tiba-tiba berpeluh dengan teruk.

"Saya terbangun tengah malam dengan peluh mencurah-curah. Maksud saya, seluruh badan basah kuyup. Pakaian saya, tempat tidur saya, semuanya basah.

"Ia berlaku dua hingga tiga kali setiap malam," kata Patel yang kini sudah sembilan tahun bebas kanser.

Pada mulanya, Patel menyangka keadaan itu disebabkan suhu bilik yang sedikit panas.

PT 2

Patel tidak menyangka tubuhnya yang kerap berpeluh pada waktu malam merupakan satu petanda kanser.

Namun, situasi tersebut berterusan selama beberapa bulan.

Dua tahun kemudian, dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan bantuan kerana simptom yang dialaminya tidak berkesudahan.

Apa itu limfoma hodgkin?

Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan, Patel disahkan menghidap limfoma hodgkin, sejenis kanser darah yang jarang berlaku.

Kanser ini berkembang di tisu salur darah dan kelenjar di seluruh badan.

Keadaan ini terjadi apabila sel limfosit (sejenis sel darah putih) tumbuh secara tidak normal dan membentuk tumor pada kelenjar limfa, sumsum tulang atau organ lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap kanser, wanita ini tak nak layan perasaan cuma ‘semak’ kepala berdepan soalan orang tak sensitif

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir separuh kes kanser dunia mungkin boleh dicegah dengan meninggalkan 2 tabiat - Kajian

Keputusan itu mengejutkan Patel kerana ketika itu usianya baru sahaja 25 tahun.

Limfoma Hodgkin adalah salah satu jenis kanser yang jarang ditemui di dunia.

Selain kerap berpeluh ketika tidur, Patel berkata dia juga mengalami kegatalan kulit yang serius sebelum mengetahui dia menghidap kanser.

"Kulit saya sangat gatal, sehingga saya sentiasa membawa losen ke mana-mana, saya sangka ia hanyalah masalah kulit kering. Saya juga melihat benjolan di leher, tetapi saya menyangka ia adalah otot saya yang membesar hasil latihan di gim," ujarnya.

Dalam pada itu, Patel mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan tanda-tanda kanser yang muncul di tubuh mereka.

"Satu perkara yang saya pelajari daripada pengalaman ini adalah untuk sentiasa peka terhadap tubuh badan sendiri.

"Tanda-tanda kecil itu? Ia berlaku atas sebab tertentu. Jangan tunggu sehingga terlambat," tegas Patel. - Detik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain