MOREH atau jamuan ringan selepas menunaikan solat sunat tarawih di masjid dan surau sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat di Malaysia.
Budaya ini bagaimanapun bukanlah satu kemestian malah ia tidak diamalkan oleh kebanyakan negara Islam lain.
Pengambilan makanan ketika moreh secara berlebihan, dibimbangi menyumbang kepada pertambahan kalori yang tidak diperlukan tubuh sekali gus menyebabkan berat badan naik.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan umat Islam agar berpada-pada dalam memilih hidangan ketika moreh supaya jumlah kalori diambil tidak melebihi keperluan kalori harian.
Moreh adalah jamuan ringan diadakan selepas solat tarawih.
Tips pilih hidangan moreh:
1. Pilih sumber bijirin yang tinggi kandungan serat seperti oat, roti, barli, jagung dan pasta bijirin penuh.
2. Ambil hidangan moreh bersama susu.
3. Tambahkan kekacang ke dalam hidangan misalnya kacang kuda, kacang merah, kacang hijau, tauhu dan tempeh.
4. Pilih buah-buahan segar berbanding kuih dan manisan.
5. Elakkan mengambil makanan dan minuman tinggi gula seperti minuman berkabonat, air kotak, kek atau kuih manis dan aiskrim.
6. Elakkan mengambil makanan tinggi lemak dan garam seperti makanan segera, snek ringan, daging diproses dan makanan dalam tin.