MENYIAPKAN hidangan sahur mungkin bukan perkara mudah bagi sesetengah individu, terutama apabila perlu bangun seawal pukul 3 atau 4 pagi.
Itu belum ditambah lagi dengan rasa mengantuk dan keletihan sehingga membuatkan ramai antara kita malas untuk menyediakan hidangan yang memerlukan usaha lebih.
Jadi, tidak hairanlah ada yang memilih jalan mudah bersahur dengan menjamah mi segera kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa malah cukup mengenyangkan untuk bertahan sepanjang hari.
Bagaimanapun, pengambilan mi segera yang berlebihan ketika bersahur sebenarnya berisiko mengundang implikasi kepada kesihatan.
Menurut pengamal perubatan Dr Yunita Indah Dewi, mi segera tidak boleh dijadikan menu utama untuk bersahur kerana nutrisinya yang rendah malah meningkatkan risiko penyakit terutama gangguan asid perut.
Namun, sekiranya tiada pilihan lain, makanan itu masih boleh dijadikan lebih berkhasiat dengan menggabungkan sayur-sayuran serta sumber protein dalam satu hidangan.
"Lebih baik tidak mengambil mi segera ketika bersahur kerana ia rendah serat dan protein, tetapi tinggi lemak.
Pengamal perubatan menyarankan untuk kurangkan pengambilan mi segera.
"Bagi penghidap ulser, ini boleh meningkatkan risiko sakit menjadi lebih teruk ketika berpuasa," katanya.
Menurut pakar pemakanan Dr Johanes C Chandrawinata pula, selain nutrisi yang rendah, mi segera juga mempunyai kadar kalori yang tinggi sekali gus meningkatkan risiko kenaikan berat badan sekiranya ia diambil terlalu kerap.
Bukan itu sahaja, kadar garam yang tinggi dalam mi segera boleh meningkatkan kekerapan membuang air kecil dan berisiko menyebabkan dehidrasi ketika berpuasa.
Meskipun tiada larangan, rata-rata pengamal perubatan menyarankan umat Islam untuk mengurangkan pengambilan mi segera sebagai hidangan bersahur dengan menggantikannya dengan mi shirataki.
Mi shirataki adalah sejenis mi tradisional Jepun yang diperbuat daripada keladi konjac dan ia sesuai dijadikan alternatif kerana rendah kalori dan karbohidrat serta bebas gluten.
"Seeloknya mee segera bahagikan dua. Jadi, separuh mi segera biasa ditambah separuh mee shirataki. Tapi ingat, saranan kurangkan juga pengambilan lemak, jadi mungkin kurangkan minyak," jelasnya. -AGENSI