suria

Kaki sakit macam dicucuk jarum! Influencer buka cerita pengalaman kena gout pada usia 28 tahun

Tabiat jarang minum air menyebabkan Hakim diserang penyakit gout.

MASALAH gout sering dikaitkan dengan penyakit orang tua, tetapi hakikatnya ia boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Semakin ramai golongan muda kini mengalami masalah itu akibat beberapa faktor termasuklah gaya hidup kurang sihat dan pemakanan yang tidak terkawal.

Namun, berbeza pula dengan kisah pempengaruh Hakim Parker yang tidak menyangka tabiat pemakanannya semasa berdiet membawa kepada serangan gout.

Jelasnya, dia mengamalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan karbohidrat serta meningkatkan pengambilan makanan tinggi protein setiap hari.

"Saya sedang berdiet, saya tidak boleh makan karbohidrat seperti nasi dan mi. Saya hanya makan makanan berprotein tinggi, dan saya makan dalam kuantiti yang banyak.

"Protein yang saya makan selalunya daging merah. Tapi ada satu masalah, daging merah mengandungi asid urik yang biasanya akan masuk ke dalam sel darah dan kemudian disingkirkan melalui air kencing," jelasnya menerusi hantaran video di TikTok.

Hakim berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di TikTok.

Menurut lelaki berusia 28 tahun itu, apa yang menjadi masalah utama adalah tabiat pemakanannya yang tidak diimbangi dengan pengambilan air yang mencukupi.

Susulan itu, badannya gagal menyingkirkan asid urik dengan baik sehingga menyebabkan ia semakin bertambah dan berkumpul pada bahagian sendi.

Tambahnya, pengumpulan asid itu membentuk kristal dan mencetuskan kesakitan yang luar biasa setiap kali sendinya digerakkan.

"Geng, sakit dia lain macam! Asid urik ini jadi dalam bentuk kristal (crystalised), dan ia terkumpul dekat sendi sehingga kaki saya bengkak. 

"Bukan itu sahaja, rasa sakitnya seperti kaki saya sedang terbakar. Ibarat saraf saya sedang mengalirkan jarum-jarum halus yang mencucuk di tempat bengkak itu.

"Tapi itulah, umur 28 tahun, saya sudah kena gout," ujarnya.

Mengambil iktibar atas apa yang terjadi, Hakim menasihatkan golongan muda agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan minum air secukupnya.

"Jadi, pengajaran yang saya dapat. minumlah air secukupnya dan kurangkan sedikit pengambilan daging merah kalau tidak mahu kena macam saya," ujarnya.

Artikel Lain