PERNAHKAH anda berasa kurang khusyuk ketika menunaikan solat tarawih disebabkan terlalu mengantuk?
Jika ya, anda mungkin mengalami food coma atau fenomena yang membuatkan seseorang keletihan atau mengantuk selepas makan.
Food coma ketika bulan Ramadan kebiasaannya berlaku akibat tabiat makan yang berlebih-lebihan ketika sahur atau berbuka puasa sekali gus menjejaskan tumpuan untuk beribadah.
Menurut pengamal perubatan Dr. Yuhana Fitra, rasa mengantuk yang dialami adalah tindak balas terhadap perubahan kimia disebabkan oleh proses penghadaman.
Jelasnya, pengambilan karbohidrat dalam kuantiti yang banyak ketika berbuka puasa boleh menyebabkan sistem pencernaan terpaksa bekerja lebih keras.
Akibatnya, tenaga lebih banyak tertumpu kepada proses pencernaan sehingga badan kehilangan tenaga untuk melakukan aktiviti lain termasuklah ibadah.
"Ketika berbuka, terdapat pelbagai juadah khas seperti pencuci mulut, makanan bergoreng dan teh manis, diikuti dengan hidangan utama dalam jumlah besar.
"Ditambah dengan sistem penghadaman yang bekerja keras selepas berbuka, tenaga cepat berkurang, mengakibatkan keletihan," katanya.
Food coma boleh menjejaskan tumpuan untuk beribadah.
Berikut adalah cara mengelakkan berlaku food coma selepas makan:
1. Ambil makanan secara sederhana
2. Elakkan pengambilan makanan tinggi kalori
3. Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis
4. Dapatkan tidur yang cukup
5. Kekal hidrasi