suria

Buang tompok kulat, bahagian lain makan macam biasa! Ramai tak tahu risiko, bahaya menanti

Membuang sebahagian makanan dicemari kulat tetap berisiko menyebabkan jangkitan kuman.

KEGHAIRAHAN membeli pelbagai juadah di bazar Ramadan sering menyebabkan berlakunya lebihan makanan selepas berbuka. 

Ramai yang bertindak menyimpan makanan tersebut untuk dimakan kemudian, tetapi penyimpanan yang tidak betul boleh menyebabkan pertumbuhan kulat. 

Gara-gara tak mahu membazir, ada yang sekadar membuang bahagian berkulat dan makan semula tanpa menyedari risiko toksin berbahaya.

Menurut pensyarah sains pemakanan Josephine Wee, makan makanan yang telah berkulat, walaupun hanya pada permukaannya ibarat mempertaruhkan kesihatan sendiri.

Apa itu kulat?

Kulat adalah sejenis fungus seperti cendawan yang mempunyai akar boleh bercambah dipanggil 'hyphae' dan tidak dapat kita lihat.

Apabila kulat mula membiak, ia membentuk sporangium yang menyebarkan berpuluh-puluh ribu sel kecil iaitu spora yang tidak dapat dilihat.

Jadi apabila sesuatu makanan itu berkulat, sel sporanya akan terawang-awang dalam bekas makanan tersebut.

"Kulat tumbuh dalam keadaan yang sesuai pada kelembapan tinggi dan suhu yang lebih hangat," katanya.

Terdapat kulat yang sengaja digalakkan pertumbuhannya untuk menghasilkan makanan misalnya kulat jenis Penicillium Roqueforti yang digunakan untuk membuat keju biru.

Namun bukan semua kulat selamat untuk dimakan, kebanyakannya tumbuh disebabkan kerosakan pada makanan yang dibiarkan lama pada suhu bilik.

Kulat pada permukaan tetap boleh menembusi jauh ke dalam makanan.

Apa terjadi sekiranya seseorang termakan kulat?

Dalam kebanyakan kes, tiada apa yang berlaku jika seseorang secara tidak sengaja termakan makanan berkulat.

"Apabila kulat masuk ke dalam badan, asid dalam perut serta enzim pencernaan akan memecahkan sel-sel kulat itu," ujarnya.

Namun, tahap imuniti setiap manusia adalah berbeza misalnya kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung mempunyai sistem imun yang agak lemah berbanding orang dewasa lain.

Sekiranya golongan ini terdedah kepada makanan berkulat, ia berkembang dalam badan dan menyebabkan jangkitan kulat serta masalah kesihatan yang serius.

"Keracunan ini boleh menyebabkan sesak nafas, alergik dan cirit-birit serta muntah. Dan untuk kes yang serius, boleh menyebabkan kematian," jelasnya lagi.

Bolehkah dibuang bahagian berkulat pada makanan?

Kulat pada permukaan makanan mungkin telah menembusi jauh ke dalamnnya seperti akar pokok yang tumbuh di bawah tanah.

Kulat terdiri daripada akar halus dan tangkai yang menjulur ke atas, dan spora pada hujungnya iaitu bahagian yang kelihatan pada permukaan makanan.

Kulat tidak sepenuhnya hilang sekiranya kita membuang bahagian yang tercemar, malah boleh menyebarkan spora tumbuh ke bahagian lain.

Selain itu, makanan berkulat mungkin mengandungi bakteria berbahaya yang tidak kelihatan tetapi boleh merisikokan kesihatan pengguna -AGENSI

Artikel Lain