suria

[V] SIRIM QAS bantu ringankan beban... Ibu tunggal ceria dapat duit raya, 'shopping' barang keperluan Aidilfitri

RAMADAN bukan sekadar bulan untuk beribadat, tetapi juga menjadi waktu terbaik untuk berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.

Prihatin dengan nasib dan cabaran yang perlu dihadapi golongan ibu tunggal, SIRIM QAS International tidak melepaskan peluang melakukan kebaikan pada bulan mulia ini apabila tampil menghulurkan bantuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kongsi Qaseh Ramadan.

Menerusi program ini, sokongan serta bantuan diberikan kepada kumpulan ibu tunggal dari Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS) agar Syawal kali ini dapat disambut dengan lebih bermakna.

Kongsi Qaseh Ramadan menyaksikan seramai 10 ibu tunggal dari Kuala Lumpur yang mewakili WITUS terpilih untuk menerima bantuan khas bernilai RM500 pada Jumaat.

Ibu tunggal berpeluang memilih sendiri barangan keperluan harian di Lotus's Selayang pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, RM200 diperuntukkan bagi pembelian barangan keperluan dapur di pasar raya Lotus's Selayang, manakala baki RM300 akan menjadi 'duit raya' masing-masing.

Selain bantuan kepada individu, SIRIM QAS International turut menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada WITUS bagi menyokong program jangka panjang persatuan dalam membantu ibu tunggal yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Ts. Md. Adha Rahmat, berkata walaupun sumbangan ini mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia membawa makna besar kepada penerima.

"Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan Kongsi Qaseh Ramadan lahir daripada keprihatinan kami terhadap ibu tunggal yang sering berdepan cabaran menyara keluarga.

Ts. Md. Adha (kanan, belakang) turut membantu golongan ibu tunggal memilih barang dapur.

"Melihat kegembiraan penerima benar-benar memberi inspirasi untuk kami terus menjalankan inisiatif seperti ini," katanya.

Ketika program ini dijalankan, kumpulan penerima yang menyertai sesi membeli-belah khas di pasar raya Lotus's diberi peluang memilih sendiri barangan keperluan harian dengan bantuan pasukan SIRIM QAS International dan Lotus's Malaysia.

Presiden WITUS, Sheila Tukimin, menzahirkan penghargaan kepada SIRIM QAS International atas keprihatinan mereka dengan menganjurkan program kebajikan seperti ini yang mensasarkan golongan ibu tunggal.

"Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban tetapi juga memberi semangat dan motivasi kepada ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan dengan lebih yakin.

Seramai 10 ibu tunggal menerima sumbangan bernilai RM500 setiap seorang.

"Saya berharap lebih banyak organisasi akan mencontohi usaha Sirim QAS International dalam membantu komuniti," katanya.

Bagi Norli Mastura Mohamad Nor, 50 yang bergelar ibu tunggal sejak 10 tahun lalu, bantuan ini sangat bermakna buat keluarganya.

"Ini merupakan sumbangan kedua saya terima sepanjang Ramadan ini. Persiapan raya masih belum dibuat, jadi dengan bantuan ini saya dapat beli baju raya untuk anak-anak.

"Saya amat bersyukur kerana sumbangan duit raya ini boleh menceriakan mereka. Selama ini, kami hanya pakai apa yang ada sahaja pada hari raya," luahnya.

SIRIM QAS International turut menyumbang RM5,000 kepada WITUS.

Jasmin Samsuri, 40, pula berkata, dia membesarkan anak-anak tanpa nafkah suami sejak berpisah 13 tahun lalu.

"Saya sangat bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan ini. Sekurang-kurangnya dapat menceriakan anak-anak saya menjelang Syawal.

"Sudah beberapa tahun saya tidak dapat belikan baju raya untuk mereka. Sumbangan ini memberi impak besar dalam kehidupan kami," katanya.

Dalam pada itu, SIRIM QAS International turut menyatakan kesediaan untuk komited dalam meneruskan lagi inisiatif CSR yang membawa impak positif kepada masyarakat pada masa akan datang.

Selain itu pihaknya juga berharap lebih banyak organisasi lain tampil memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, yang merupakan agensi kerajaan adalah badan pensijilan pertama yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia, yang menawarkan pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Bribery.

Artikel Lain