suria

Baru tahu rupanya makanan terlampau pedas boleh jejas kesihatan mental!

Makanan pedas boleh menjejaskan kesihatan mental.

PENGAMBILAN makanan pedas sudah cukup sinonim dengan rakyat Malaysia kerana ia dianggap sebagai penambah selera dalam setiap hidangan.

Tanpa elemen pedas, makanan sering dirasakan kurang enak dan tidak memuaskan. 

Namun, tahukah anda bahawa makanan pedas bukan sahaja memberi kesan kepada sistem penghadaman tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan mental? 

Pengarah Metropolis Healthcare, Ameera Shah menjelaskan makanan pedas bukan sahaja membahayakan usus tetapi ia boleh membunuh otak dan menyebabkan masalah mental.

Kajian menunjukkan bahawa bakteria usus atau mikrobiota memainkan peranan penting bagi penghasilan bahan kimia dalam sistem saraf seperti serotonin, yang mempengaruhi mood dan kesejahteraan emosi.

Apabila keseimbangan mikrobiota terganggu, ia boleh mencetuskan tindak balas keradangan dan mengganggu komunikasi antara usus dan otak sekali gus meningkatkan risiko gangguan mental seperti kemurungan.

Makanan pedas boleh menyebabkan ketidakseimbangan bakteria usus

"Jika anda makan makanan pedas, ia boleh merosakkan lapisan usus, berisiko menyebabkan luka atau iritasi.

"Lebih membimbangkan, bakteria daripada usus boleh memasuki aliran darah dan sampai ke otak, kerana usus mempunyai hubungan saraf yang sangat kuat dengan otak.

"Jika kita melihat tubuh secara holistik dan bukan sebagai organ yang terpisah, ia adalah satu organisma yang mencari keseimbangan dan persekitaran yang sihat untuk hidup.

"Ia bergantung kepada kita untuk mengekalkan keseimbangan dalam segala aspek tanpa melakukan sesuatu yang 'melampau' yang boleh menjadikannya sukar untuk berfungsi dengan baik," katanya.

Selain itu, makanan bergula juga membahayakan kesihatan kerana menyebabkan lonjakan dan penurunan mendadak dalam paras gula darah sehingga menjadikan emosi tidak stabil.

Malah makanan diproses juga boleh meningkatkan gula sehingga mencetuskan ketagihan berpunca daripada perubahan emosi yang  bersifat tiruan dan tidak konsisten. -Agensi

Artikel Lain