suria

Betul ke gemuk lepas kahwin tanda bahagia? Rupanya ini punca sebenar suami isteri obesiti

Alasan bahagia sering dikaitkan dengan masalah obesiti dalam kalangan pasangan berkahwin. -Gambar hiasan

'GEMUK tanda bahagia'.

Ungkapan ini cukup membuktikan kebiasaan masyarakat kita menggunakan alasan bahagia sebagai punca pertambahan berat badan selepas berkahwin.

Tidak dapat dinafikan ramai pasangan mengalami peningkatan berat badan setelah mendirikan rumah tangga bahkan penampilan mereka juga berubah secara drastik berbanding sebelum berkahwin.

Namun, perkara itu bukanlah disebabkan perasaan bahagia semata-mata, sebaliknya terdapat punca-punca yang lebih spesifik dan dapat dijelaskan secara saintifik. 

Menurut portal Hello Doktor, berikut adalah punca-punca sebenar pasangan gemuk selepas kahwin.

1. Tiada masa untuk aktiviti fizikal

Semasa zaman bujang, anda mungkin memiliki masa senggang yang boleh digunakan untuk aktiviti fizikal seperti bersenam atau bersukan. 

Selepas berkahwin, masa senggang yang digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal kini diisi dengan perkara yang lebih romantis bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga seperti menonton wayang, bersiar-siar di taman bunga bahkan makan di restoran.

2. Emosi tidak stabil

Pasangan tidak akan dapat lari daripada pelbagai konflik selepas berumah tangga sehingga mencetuskan emosi negatif seperti stres, cemburu, dan kecewa sekali gus menyebabkan pemakanan tidak dijaga.

Mereka cenderung untuk makan berlebihan bagi mengubati hati yang terluka selepas pergaduhan sehingga menjejaskan berat badan dan kesihatan tubuh.

Pasangan tidak dapat mengawal pengambilan makanan punca pasangan menghidap obesiti.

3. Kehamilan buat suami isteri gemuk bersama

Ketika hamil, wanita cenderung untuk mempunyai selera yang tinggi atau mengidam makanan yang pelik-pelik serta tidak bernutrisi.

Bukan sahaja ibu hamil, malah suami juga akan makan lebih banyak, terutamanya untuk menghabiskan lebihan makanan isteri sehingga kedua-dua pasangan berisiko mengalami pertambahan berat badan.

4. Elak pembaziran

Kenaikan kos sara hidup menyebabkan kebanyakkan pasangan terutamanya mereka yang sudah berkeluarga sedaya upaya mengelakkan pembaziran makanan.

Keadaan ini akhirnya mendorong ahli keluarga untuk saling menghabiskan makanan lebihan antara satu sama lain sehingga menyebabkan peningkatan berat badan mereka, terutama ibu dan bapa.

5. Memenuhi selera suami

'Ambil hati suami, mula daripada perutnya'. Ungkapan ini sering mengingatkan isteri tentang kepentingan memenuhi selera suami dengan memasak pelbagai juadah demi kebahagiaan rumah tangga.

Namun, tanpa disedari tabiat ini boleh menyebabkan pertambahan berat badan bagi kedua-dua pasangan.

6. Kehidupan selesa buat pasangan menjadi gemuk

Sebelum berkahwin, kebanyakan individu terutamanya wanita  sangat menjaga bentuk badan untuk menarik perhatian bakal pasangan. 

Namun, selepas berkahwin, mereka merasa lebih selesa dan yakin dengan hubungan membuatkan keutamaan itu berubah sehingga tidak lagi mempedulikan rupa paras dan bentuk badan mereka.

Artikel Lain