suria

Tak susah nak jadi menantu pilihan... Ini panduan pikat hati mentua menjelang Aidilfitri

Menantu perlu bijak memikat hati mentua agar pengalaman beraya menjadi lebih bermakna. -Gambar hiasan

BAGI pasangan yang baru berkahwin, Aidilfitri yang bakal tiba pasti mendebarkan apabila ia bakal menjadi pengalaman pertama mereka beraya dengan keluarga mentua.

Mana tidaknya, kita sering disajikan dengan kisah kurang menyenangkan antara mentua dan menantu.

Namun, ia bukanlah perkara mustahil untuk mengecapi hubungan baik dengan mentua asalkan kita cuba memahami keperibadian mereka dan menunjukkan usaha untuk menyesuaikan diri dalam keluarga baharu.

Jika fasa awal sudah berjaya ‘memikat’ hati ibu mentua, hubungan pasti akan lebih harmoni, sekali gus menjadikan pengalaman beraya bersama lebih bermakna.

Menantu dan mentua perlu saling menghormati agar hubungan makin erat.

Menurut portal busana pengantin PP Signature, berikut adalah tip untuk menjalin hubungan baik dengan ibu mertua dan mencipta kenangan indah sepanjang Aidilfitri:

1. Mendengar perbualan dengan hati

Beri perhatian penuh setiap kali berbual dengan mentua seperti menganggukkan kepala dan bertanyakan soalan untuk tunjukkan minat.

2. Tunjuk rajin memasak

Tawarkan diri untuk memasak atau bantu ibu mentua di dapur. Jangan biarkan dia melakukan kerja bersendirian.

3. Jangan tunjuk malas

Tunjukkan sikap ringan tulang dalam membantu melakukan kerja rumah seperti mengemas dan membersihkan kawasan kediaman tanpa perlu diminta.

4. Bawa hadiah atau buah tangan

Bawa buah tangan semasa melawat walaupun hanya sebungkus kuih kegemaran mereka sebagai tanda ingatan.

5. Bergaul dengan ipar-duai

Libatkan diri dalam aktiviti keluarga atau bertanyakan tentang diri mereka demi tunjukkan minat anda untuk berkenalan dengan lebih rapat.

6. Jangan berkepit dengan pasangan

Galakkan masa berkualiti antara pasangan dan keluarganya sebagai tanda menghormati hubungan mereka.

7. Jangan marah pasangan depan mertua

Bersikap matang dan elakkan bertengkar di hadapan mentua. Simpan masalah dalam 'sesi peribadi' anda dengan pasangan.

8. Tawar ibu mertua duduk di hadapan

Sekiranya pergi beraya ke rumah sudara mara, tawarkan tempat duduk di bahagian hadapan kepada ibu mentua agar dia rasa dihargai.

9. Jangan berebut suami dengan ibu dia

Tunjukkan yang anda menghargai masa mereka bersama tanpa perlu rasa cemburu atau berniat jahat untuk cuba pisahkan hubungan ibu dan anak.

10. Puji pasangan depan mertua

Tunjukkan penghargaan anda agar mereka tahu anda menghargai hasil didikan dan usaha mereka membesarkan anak-anak selama ini.

Artikel Lain