TIBA sahaja musim perayaan, jalan raya pasti sesak dengan pengguna yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran bersama keluarga.
Kesesakan lalu lintas ini bukan sahaja menyebabkan tempoh pemanduan menjadi lebih panjang malah meningkatkan risiko keletihan dan mengantuk terutamanya bagi pemandu.
Jika tidak ditangani dengan baik, pengguna dikhuatiri terlibat dalam situasi tidak diingini atau berbahaya seperti kemalangan jalan raya.
Oleh itu, penting untuk mematuhi tip berikut agar anda dapat mengatasi rasa penat ketika memandu:
1. Tidur yang cukup
Persiapan untuk perjalanan jauh sering menyebabkan ramai tidur lewat, mengakibatkan badan letih dan kurang rehat.
Sebaiknya, mulakan persediaan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal agar tubuh mendapat rehat yang mencukupi dan anda dapat lebih fokus ketika memandu.
2. Berehat setiap dua hingga tiga jam
Berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen minyak, atau restoran di tepi jalan sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit sebelum meneruskan perjalanan.
Selain berehat, gunakan masa ini untuk meregangkan badan, menghirup udara segar, dan membuang air kecil bagi mengurangkan keletihan.
Keletihan boleh meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
3. Gunakan teknik power nap
Pemandu yang mengantuk disarankan tidur sebentar menggunakan teknik power nap selama 10 hingga 30 minit.
Tidur singkat ini dapat menyegarkan badan dan merehatkan otak. Untuk hasil lebih baik, pastikan posisi tidur selesa dengan badan berbaring dan kaki diluruskan.
4. Sediakan laluan terbaik
Rancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menambah masa perjalanan.
Gunakan laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan. Jika menggunakan lebuh raya, pastikan tidak terlepas susur keluar bagi mengelakkan perjalanan menjadi lebih lama.
5. Kekal terhidrasi
Dehidrasi boleh menyebabkan keletihan, pening, dan mengantuk.
Pastikan minum air secukupnya ketika sahur dan berbuka untuk mengekalkan hidrasi, terutama jika memandu dalam bulan puasa.
6.Tetapkan corak pemakanan
Elakkan makanan tinggi lemak dan gula kerana ia boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah dan penurunan tenaga secara mendadak.
Sebaliknya, pilih makanan tinggi serat dan protein seperti oatmeal, ubi keledek, kentang, telur rebus, kekacang, serta ambil vitamin tambahan untuk kesihatan lebih baik.
7.Elakkan minum kafein atau alkohol sebelum tidur
Pengambilan kopi atau minuman beralkohol sebelum tidur boleh menyebabkan tidur tidak berkualiti.
Akibatnya, pemandu tetap berasa letih walaupun telah tidur lama.
8. Menguruskan tekanan
Kesesakan lalu lintas boleh menyebabkan stres sehingga menjadikan badan cepat letih.
Cari cara untuk menenangkan diri seperti mendengar muzik kegemaran atau berbual dengan ahli keluarga dan penumpang lain untuk mengurangkan tekanan.